Ambil pendekatan bijaksana untuk pulih keyakinan rakyat - Anwar
Wan Syamsul Amly
November 18, 2019 15:54 MYT
November 18, 2019 15:54 MYT
Kerajaan perlu mengambil pendekatan bijaksana untuk memulihkan keyakinan rakyat yang kecewa dan memberi mesej jelas menolak Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada Sabtu lalu.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin PH kini perlu menggandakan usaha dalam memberi khidmat selain memahami bantahan yang ditunjukkan pengundi di PRK berkenaan.
“Kalau kita tak belajar dan tak tahu lagi, maknanya kita tidak lagi layak memerintah.
“Kita sudah dapat maklumat dan kita sepatutnya hanya menunggu masa untuk mengambil tindakan yang bijaksana untuk memulihkan keyakinan,” katanya semasa ditemui di lobi Parlimen di sini, pada Isnin.
Bagaimanapun kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Parlimen tidak perlu dibubar walaupun PH menerima kekalahan berturut-turut dalam beberapa PRK akhir-akhir ini.
Jelasnya, kerajaan masih mempunyai mandat untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membubarkan Parlimen susulan kekelahan teruk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
Menurut Ismail, jika kerajaan benar-benar sensitif dan mendengar suara hati dan nurani rakyat, kerajaan tiada pilihan lagi selain daripada membubarkan Parlimen dan menyerahkan kuasa kepada rakyat menentukan masa depan negara.
#Anwar Ibrahim
#Dr Mahathir
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#pilihan raya kecil
#Tanjung Piai Memilih
#Tun Mahathir