Ambil peluang dari krisis, wujudkan kerangka ekonomi baharu - Nik Nazmi
Israr Khalid
Disember 10, 2021 11:05 MYT
Disember 10, 2021 11:05 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad melihat perlunya satu kerangka ekonomi baharu yang berimpak tinggi, pasca krisis COVID-19.
Katanya, kerajaan dan pembangkang perlu bersama membentuk pembangunan jangka panjang dengan menggarap segala elemen yang terwujud daripada impak pandemik, terhadap negara.
Jelasnya, keperluan kerangka ekonomi baharu itu adalah supaya ia seiring dengan keadaan semasa yang telah banyak berubah akibat pandemik serta evolusi senario politik tanah air.
“Apa yang kita dapat capai hari ini sangat penting dan kita juga perlu ambil peluang. Istilah yang sangat popular, bila mana ada krisis, adalah peluang.
"Kita lihat banyak negara, Amerika Syarikat melahirkan kelas menengah mereka (pasca ‘Great Depression’), Jerman dan Jepun, selepas kalah perang mereka lahirkan dasar industri mereka,” kata Nik Nazmi.
Ujarnya, walaupun telah banyak inisiatif diwujudkan kerajaan, beserta perancangan-perancangan lain yang diumumkan, masih belum wujud satu pelan besar untuk negara melonjak ke hadapan dari takuk lama.
Apatah lagi, katanya, rakyat ketika ini tidak peduli siapa yang menjadi pemerintah, tetapi melihat bagaimana para pemegang kuasa dapat menambah baik dan mensejahterakan kehidupan mereka.
“Jadi, kalau dapat, kita lahirkan satu kerangka ekonomi baharu macam ketika dahulu pada 1969/70 dengan Dasar Ekonomi Baharu (pasca krisis 13 Mei 1969).
“Kita perlu satu kerangka yang benar-benar radikal dan berani untuk kita kembali menangkap imaginasi rakyat,” tambahnya.
Tonton sesi penuh program Dialog Tiga Penjuru bersama hos Dzulfitri Yusop, di sini: