Ambil peduli nasib petani di Kota Marudu

Fifi Harteeny Marzuki
November 24, 2018 09:57 MYT
Hasil pertanian akan dijual di pasar-pasar minggu di daerah Kota Marudu. Astro AWANI
Dalam arus ekonomi yang agak mencabar masa kini, pastinya penduduk di luar bandar turut terasa bahangnya.
Tidak terkecuali penduduk daerah Kota Marudu yang rata-rata bekerja sebagai petani, sedikit mengeluh dan berharap agar ada ‘bantuan’ untuk mereka bagi melangsungkan kehidupan.
Bukan bantuan wang ringgit yang diminta tetapi usaha menambah baik kemudahan asas di kawasan mereka sangat diharapkan.
Menerusi program Kalendar Sabah hari ini, wakil Astro AWANI Sabah menyingkap permasalahan yang dihadapi penduduk di kawasan itu sejajar dengan lawatan ‘pemimpin nombor satu’ Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ke Kota Marudu, baru-baru ini.
Bagi petani, Ameng Hadi, dia mahukan keadaan ekonomi mereka ditambah baik memandangkan sektor pertanian getah dilihat tidak stabil.
Katanya, harga getah yang rendah menyebabkan kerugian kepada para petani dan sekali gus menjejaskan periuk nasi mereka.
Selain itu, Ameng turut menyeru kerajaan membawa satu perubahan dengan menyediakan beberapa inisiatif kepada belia di kawasan itu.
“Ekonomi masyarakat khasnya para belia di kampung-kampung dapat ditingkatkan jika mereka diberi platform betul untuk berkecimpung dengan pertanian sekali gus keusahawanan,” katanya.
Bagi, Doon Mahudin, usaha membawa perumahan di Kota Marudu dilihat masih gagal.
“Tiada perubahan, jalan raya masih gagal, masih sempit. Dari dulu lagi daerah ini kami minta untuk dinaik taraf. Jadi kita mahu kerajaan baharu ini dapat ambil peduli masalah pembangunan ini,” katanya.
Bagaimanapun, Astro AWANI akan menyiarkan komitmen kerajaan negeri iaitu Mohd Shafie yang komited membantu masalah penduduk di kawasan itu.
#Ameng Hadi #ekonomi #jalan raya #kemudahan asas #Kota Marudu #Mohd Shafie Apdal #petani
;