Ambil pedoman konsep keseimbangan dalam al-Quran - Anwar

Madiha Abdullah
April 8, 2023 13:15 MYT
Anwar berkata, kandungan al-Quran, khususnya berhubung keseimbangan dan kesederhanaan, boleh membantu menyelamatkan diri, masyarakat dan negara. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Umat Islam harus mengambil iktibar bulan Ramadan di mana turunnya al-Quran, dengan manfaatkan isi kandungannya sebagai pedoman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kandungan al-Quran, khususnya berhubung keseimbangan dan kesederhanaan, boleh membantu menyelamatkan diri, masyarakat dan negara.
Jelas Anwar, keseimbangan dan kesederhanaan boleh menjadi salah satu kelebihan terbesar dimiliki oleh pemimpin Islam, jika apa yang dianjurkan dalam al-Quran benar-benar difahami.
"Allah janji kepada kita umat yang mempertahankan keseimbangan, tahu tanggungjawab dunia dan akhirat, iman dan ilmu, akal dan kalbu, rohani dan jasmani, manusia dan persekitaran.
"Sebab itu kita tak boleh langgar bukit-bukau, balak ditebang sesuka hati. Semua jahanam kerana tidak ada keseimbangan, kerosakan yang berlaku pula akan menimpa rakyat yang rendah kedudukannya," katanya lagi.
Tambahnya, pemimpin Islam harus menjadi contoh bukan sahaja tentang kehidupan dan perjuangan Melayu tetapi memikul amanah untuk menjaga segenap lapisan rakyat.
"Pemimpin bukan setakat cakap pasal hidup Melayu, berjuang atas nama Islam tetapi kena jadi contoh untuk jaga negara sebagai amanah, supaya orang tengok ada orang Melayu bersih, tidak amal rasuah dan prihatin nasib orang susah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Nur Ramadan peringkat Wilayah Persekutuan di Kampung Kerinchi, pada Sabtu.
Program anjuran bersama Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menyaksikan perdana menteri menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM200,000 kepada 300 asnaf dan fakir miskin di sekitar parlimen Lembah Pantai.
Jumlah keseluruhan penerima sumbangan Nur Ramadan bagi Wilayah Persekutuan pada tahun ini ialah seramai 3,300 orang meliputi 11 kawasan parlimen, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM660,000.
#Anwar Ibrahim #Ramadan #Al-Quran #Islam