Ambil langkah elak anak terkena strok haba

Sinar Harian
April 28, 2023 09:15 MYT
Jabatan Meteorologi menjangkakan keadaan cuaca panas di negara ini berlanjutan dalam tempoh yang agak panjang iaitu sehingga Ogos, susulan peralihan monsun. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Seorang doktor perubatan yang popular di media sosial, Dr Ahmad Samhan Awang berkongsi lapan langkah yang boleh mengelakkan kanak-kanak daripada terkena strok haba.
Menerusi perkongsian di laman Twitter, beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Dr Samhan menegaskan, ibu bapa perlu memastikan kediaman mempunyai aliran udara yang baik bagi mengelakkan anak tersedut karbon dioksida terlalu banyak.
"Pasangkan kipas angin kerana ia mampu menurunkan risiko kematian bayi atau kanak-kanak secara mengejut sebanyak 72 peratus mengikut kajian.
"Laraskan suhu penyaman udara kepada 24 dariah Celsius kerana ia mampu mengoptimumkan suhu badan kanak-kanak berusia dua tahun ke atas. Jangan sesekali memakaikan anak dengan pakaian terlalu tebal atau ketat.
"Berikan anak minum air putih dengan kerap walaupun dia tidak mengadu dahaga dan sediakan mereka dengan makanan yang banyak air atau sup," ciapnya di laman Twitter pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa tidak membiarkan anak mereka tidur menggunakan selimut.
BACA: Kanak-kanak 11 tahun maut, mangsa pertama strok haba
BACA: Kanak-kanak perempuan umur setahun maut akibat strok haba di Kelantan
BACA: Cuaca panas: Jangan tinggal anak dalam kereta - Pakar Kesihatan
BACA: Cuaca panas pengaruhi mental, emosi
"Sekiranya anak anda mengadu kepanasan, segera bantu mereka turunkan suhu dengan mengelap muka dan badan menggunakan kain yang basah," jelasnya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dari Bachok, Kelantan yang meninggal dunia pada Selasa lalu menjadi mangsa pertama strok haba di negara ini ekoran cuaca panas melanda negeri itu. - Sinar Harian
#strok haba #cuaca panas #Dr Samhan #aliran udara dalam rumah
;