Ambil langkah berjaga-jaga ketika berkunjung ke lokasi riadah
Sinar Harian
September 17, 2021 08:30 MYT
September 17, 2021 08:30 MYT
SEREMBAN: Meskipun cuti umum, namun rata-rata masyarakat di sekitar daerah ini masih lagi mengambil langkah berjaga-jaga untuk tidak berada di luar.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Taman Tasik Seremban sekitar jam 5 petang pada Khamis mendapati, pusat rekreasi tersebut masih tidak ramai pengunjung, serta tidak semeriah dulu.
Menurut salah seorang pekerja swasta, Md Azhar Md Nordin, 35, dia datang ke sini hanya untuk bersiar dengan anak-anak.
Bagaimanapun katanya, dia masih tidak berani untuk membenarkan anaknya bermain sebarang kemudahan yang disediakan kerana masih bimbang dengan jangkitan COVID-19.
"Saya hanya bawa mereka keluar bersiar di taman ini sahaja, sudah lama sangat mereka duduk dalam rumah.
"Kebetulan tempat ini pun tidak ramai orang, jadi selamat sikit berbanding dengan tempat yang dipenuhi orang ramai," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sementara itu, menurut Masita Baba, 60, dia datang ke tempat itu untuk menemani cucunya yang sudah lama duduk di rumah.
Katanya, mereka sudah lama tidak keluar beriadah kerana bimbang jangkitan COVID-19, tetapi sejak Negeri Sembilan beralih ke Fasa 3, mereka mula berani untuk keluar rumah.
"Kami hanya ke tempat yang tidak ramai orang dan tidak sesak kerana keluarga ada anak kecil, jadi kita bawa ke tempat yang selesa serta selamat.
"Asalkan budak-budak dapat keluar rumah sekejap, tak kisah bawa ke mana, asalkan mereka dapat beriadah," katanya.
Jelasnya, mereka mengambil masa agak awal sekitar jam 4.30 petang, untuk keluar beriadah bagi mengelakkan kesesakan atau pengunjung yang ramai.
Katanya, tempat rekreasi seperti ini akan menjadi ramai sekitar jam 6 petang ke atas, namun kali ini pengunjung masih kurang jika dibandingkan dengan keadaan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
*Berita asal di Sinar Harian