Ambil langkah awal pembangunan Dasar Pelabuhan Hijau - Tiong Lai
Bernama
Disember 10, 2016 08:49 MYT
Disember 10, 2016 08:49 MYT
Pelabuhan-pelabuhan di Malaysia telah mengambil langkah awal ke arah pembangunan Dasar Pelabuhan Hijau bagi mencapai pelabuhan yang lebih mesra alam dan berdaya maju, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Katanya, dasar itu berdasarkan kepada tiga elemen iaitu alam sekitar, penglibatan masyarakat dan kemampanan.
Ia juga termasuk inisiatif seperti pengurusan air balast, kajian kualiti bahan api kapal di pelabuhan dan alam sekitar serta inisiatif penjimatan tenaga, elektrik dan bahan air.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Menteri-Menteri Mengenai Pengangkutan pada sesi Suruhanjaya Sosial dan Ekonomi Asia Pasifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ESCAP) di Moscow, Rusia, pada Khamis.
Teks ucapannya, yang menggariskan ikrar menyokong pembangunan lestari sektor pengangkutan di rantau Asia dan Pasifik, diperoleh di sini.
Dalam ucapannya, Liow berkata Malaysia telah berikrar untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 45 peratus dari segi intensiti pelepasan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.
"Ini termasuk inisiatif yang menggunakan teknologi hijau merentasi negara, penerbangan serta sektor pengakutan maritim," katanya.
Menurut beliau, di bawah Dasar Automotif Negara 2014, kerajaan berazam untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas berbahaya dengan mengalakkan penggunaan kenderaan cekap tenaga (EEV)
Dalam sektor penerbangan, katanya, Malaysia memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus selaras dengan Pendekatan Berasaskan Pasaran Global Pertubuhan Penerbangan Awam (ICAO).
"Kami juga akan menyertai fasa perintis Skim Pengurangan dan Keseimbangan Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa ICAO," katanya.
-- BERNAMA