Ambil kira kemampuan B40 miliki rumah dalam Belanjawan 2020

Bernama
Oktober 6, 2019 11:54 MYT
Dekan Fakulti Ekologi Manusia UPM Prof Dr Ahmad Hariza Hashim berkata, apa yang berlaku di Malaysia adalah rumah yang dibina tidak menyamai permintaan dan hanya memenuhi keperluan golongan tertentu sahaja. - Gambar hiasan
Kemampuan golongan B40 dalam peluang pemilikan rumah harus dititikberatkan dalam Belanjawan 2020 dengan mengambil kira kekangan kewangan dihadapi golongan itu.
Ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta Adzman Shah Mohd Ariffin berkata ini kerana kemampuan B40 memiliki rumah agak terhad dan lebih menjurus kepada penyewaan rumah.
"Terdapat beberapa lapisan profil rakyat yang ingin memiliki rumah, iaitu B40, M40 dan individu yang baru berumah tangga, sebagai contoh. Bagi B40, mereka utamakan menyewa dahulu dan beli apabila ada kemampuan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya, kerajaan juga disaran mengkaji semula sasaran membina sejuta unit rumah mampu milik dari segi permintaan sebenar untuk membantu golongan ini.
"Kebelakangan ini, sektor perumahan negara dilihat menghadapi kemelut harga rumah tinggi dan bekalan rumah tidak terjual, namun berdasarkan pelbagai inisiatif kerajaan dengan jangkaan pengumuman (sektor perumahan) dalam Belanjawan 2020, peluang pemilikan dijangka bertambah baik dalam jangka masa lima tahun sekiranya paras pendapatan B40 bertambah," katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia Prof Dr Ahmad Hariza Hashim berkata jurang perbezaan dalam pembinaan rumah yang tampak 'berat sebelah' perlu dikurangkan bagi menepati permintaan semua golongan.
"Apa yang berlaku di Malaysia adalah rumah yang dibina tidak menyamai permintaan. Rumah yang dibina itu memenuhi keperluan golongan tertentu sahaja.
"Perkara yang paling utama harus dilihat adalah dari segi pendapatan masyarakat sama ada mereka mampu atau tidak bagi memiliki rumah dan membayarnya bagi jangka panjang," katanya.
Bagaimanapun, beliau menyarankan individu itu sendiri mengumpul duit terlebih dahulu sebelum tergesa-gesa memiliki rumah dan berhadapan masalah hutang pada umur muda.
"Mereka boleh memiliki rumah tapi harus kukuh dari segi kewangan. Harga rumah naik mendadak akibat permintaan tinggi dan ia sekali gus memberi tekanan kepada pasaran perumahan," katanya.
Seorang pelukis pelan di firma arkitek, Nurul Fatihah Md Yusof, 29, berkata generasi muda kebanyakannya berharap agar kelayakan minimum untuk permohonan rumah mampu milik diturunkan.
"Rata-rata generasi muda berhijrah ke ibu kota selepas tamat belajar dan mendapat pekerjaan tetap. Daripada membayar sewa mahal, adalah lebih baik sekiranya mempunyai rumah sendiri dan membayar ansuran rumah.
"Namun, apa yang mengecewakan adalah had kelayakan pemilikan rumah amat menyukarkan permohonan...pada masa sama tidak mahu membebankan ibu bapa bagi bantuan kewangan daripada mereka, jadi hasrat memiliki rumah sendiri terpaksa ditangguhkan," katanya.
Seorang jurutera, S.Vignesh berkata biarpun telah memiliki rumah sendiri di Rawang, kawasan tersebut jauh dari tempat kerjanya di Petaling Jaya.
"Harga rumah mahal di kawasan PJ, jadi saya terpaksa cari yang jauh sedikit dan yang mampu milik setimpal dengan kelayakan gaji. Saya tinggal bersama keluarga besar, menjadi tanggungjawab untuk menyediakan kediaman selesa buat mereka.
"Mungkin kerajaan atau pihak pemaju boleh mengkaji semula harga rumah mampu milik dan menilai rakyat berdasarkan kemampuan pendapatan," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Hariza Hashim #B40 #Belanjawan 2020 #Belanjawan2020 #berat sebelah #harga rumah #kaji semula #kekangan kewangan #kerajaan #M40 #paras pendapatan #pemilikan rumah #permintaan sebenar #rakyat #rumah #rumah mampu milik #sasaran #sektor perumahan #senangkanyangsusah
;