Ambil kesempatan rentas negeri berkunjung ke Pulau Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 11, 2021 18:33 MYT
Oktober 11, 2021 18:33 MYT
GEORGE TOWN: Kebenaran rentas negeri dimanfaatkan sepenuhnya orang ramai untuk melancong ke Pulau Pinang hari ini.
Antara yang tidak melepaskan peluang keemasan itu ialah Siti Farhana Suhaimi dari Taiping Perak.
Dia yang ditemui di pantai Batu Feringhi di sini, pada hari pertama rentas negeri membuat keputusan di saat akhir bercuti ke Pulau Mutiara hari ini sebelum pulang ke kampung halaman di Perlis minggu depan.
Dia yang bertolak dari Taiping pagi tadi berkata, tidak kesesakan yang ditempuh sepanjang perjalanan manakala kawasan tumpuan pelancong juga masih lengang.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, meskipun sudah dibenarkan merentas negeri, mereka masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Semasa dalam perjalanan tadi, kereta tidak banyak dan tidak ada kesesakan melampau, kami sampai sini jalan-jalan di pantai dahulu sebelum mencari kawasan yang tidak sesak dan sesuai untuk anak-anak beriadah,” kata Siti Farhana Suhaimi yang juga seorang surirumah.
Sebetulnya, Siti Farhana dan keluarga merancang untuk pulang ke kampung halamannya di Perlis.
Namun begitu, disebabkan baru semalam pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat kerajaan, Siti Farhana berkata, dia sekeluarga tidak berkesempatan membuat persiapan.
“Sebenarnya, kami lebih teruja hendak pulang ke kampung di Perlis, jadi minggu depan kami akan balik kampung,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Sementara itu, tinjauan di sekitar kawasan tumpuan itu mendapati suasana masih lengang berikutan hari bekerja dan kebanyakan gerai gerai di situ baru dibuka.
Pulau Pinang menjangkakan sekitar 50,000 pelancong akan mengunjungi negeri itu hujung minggu ini susulan kebenaran rentas negeri yang bermula hari ini.
Pada Ahad, kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada Keluarga Malaysia yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri bermula hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).