Ambil iktibar daripada Selesema Sepanyol, jangan abaikan aspek emosi anak - Dr Zulkifli

Israr Khalid
Ogos 12, 2021 06:53 MYT
Anak-anak kita hari ini membesar dalam keadaan luar biasa yang memerlukan perhatian lebih dan pendekatan berbeza. - Foto fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Selain pelajaran anak-anak yang menjadi perkara paling dirisaukan ibu bapa hari ini, harus jangan dilupakan aspek emosi dan sosial mereka.
Seperti orang dewasa, keadaan kesihatan mental anak-anak juga perlu diberi perhatian ketika mereka membesar dalam suasana yang luar biasa di zaman pandemik yang entah bila akan berakhir ini.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life yang juga pakar kanak-kanak, Datuk Dr Zulkifli Ismail melihat peristiwa pandemik influenza pada 1918, yang dikenali dengan panggilan Selsema Sepanyol, perlu dijadikan iktibar supaya kesan buruknya tidak berulang.
Ketika ini pun, beliau mendapati kesan pandemik terhadap kanak-kanak sudah dapat dilihat.
“Pesakit-pesakit saya yang datang ke klinik bila mereka masuk ke klinik macam dia masuk ke dunia baharu. Mukanya ‘blank’ saja, seperti takut dengan orang.
“(Pandemik) ini menyebabkan kemurungan, fobia kerana ibu bapa memberitahu bahawa ada virus di mana-mana dan mereka tidak boleh keluar, menimbulkan ketakutan dalam diri mereka,” katanya.
Satu kajian yang dijalankan terhadap individu yang membesar ketika penularan pandemik Selesema Sepanyol mendapati keadaan mental mereka lebih teruk jika dibandingkan dengan generasi yang mengharungi Perang Dunia Pertama.
Bagaimanapun generasi selepas pandemik itu mempamer keadaan yang lebih baik berbanding kedua-duanya.
Pandemik ini bukan sekadar meragut kebebasan hidup sebagai kanak-kanak dan remaja, tetapi juga meranapkan jiwa lebih-lebih lagi buat mereka yang kehilangan orang tersayang seperti ibu bapa dan adik beradik.
“Isu anak yatim ini juga perlu kita tangani sebaiknya. Masalahnya adalah implikasi (pandemik) kepada perkembangan sosial anak-anak itu.
“(Maka antaranya caranya) kita boleh gunakan PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) itu, jadikannya ia lebih efektif lagi dan menggunakan kurikulum yang baharu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Dialog Tiga Penjuru dihoskan oleh Dzulfitri Yusop, yang turut disertai oleh Pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan & Pendidikan Komuniti, Fakulti Pendidikan UKM, Dr. Anuar Ahmad, dan Ketua Latihan & Bimbingan Teach for Malaysia, Chew Mei Yee.
Tontonnya di sini:
Ambil iktibar dari pandemik Selsema Sepanyol, emosi anak-anak perlu diberi perhatian - Dr Zulkifli
Dialog Tiga Penjuru: Selamatkan buka sekolah?
#Dialog Tiga Penjuru #Datuk Dr Zulkifli Ismail #sekolah #Kanak-kanak #emosi #sosial #mental #Selsema Sepanyol #Spanish Flu
;