Ambil iktibar daripada kes bunuh Intan Suraya Mawardi - Rohani
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 28, 2015 17:50 MYT
Oktober 28, 2015 17:50 MYT
Orang ramai terutama ibu bapa perlu mengambil iktibar susulan kes rogol dan bunuh pelajar Tingkatan Lima, Intan Suraya Mawardi di bilik tidurnya di Pangsapuri Bandar Baru Teluk Kumbar, Pulau Pinang pada Ahad.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berpendapat insiden tragik seumpama itu bukanlah bersifat bermusim, sebaliknya boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
"Saya ingin ingatkan, ambil iktibar. Jangan baca (berita) sahaja dan mengatakan itu tiada kena mengena.
"Kita perlu sentiasa mengingatkan anak-anak (supaya) sentiasa berjaga-jaga terutamanya jika berada di tempat sunyi. Dalam kes ini, mungkin dia (mangsa) sudah percaya sangat pada teman lelakinya atau sebagainya.
"Perasaan syak wasangka itu perlu ada ... awasi diri. Situasi yang langsung kita tidak bayangkan (mungkin) boleh terjadi," kata Rohani kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Rohani pada masa sama turut menzahirkan kekecewaannya dengan fenomena keganasan serta tindakan luar norma manusia yang terus menghantui golongan wanita dewasa ini.
BACA: Pelajar tingakat lima dirogol sebelum dikelar teman lelaki - Polis
"Saya perlu bertanya, mengapa wanita harus diganasi? Wanita adalah untuk kita sayangi untuk kita belai, jadi kenapa bila kita ingat wanita, bukan sahaja teman wanita, kita ingat ibu, anak dan isteri," kata Rohani.
Justeru, katanya jika mana-mana individu yang mempunyai masalah dalam kehidupan harian seperti tekanan perasaan, kewangan dan sebagainya, perlu merujuk kaunselor seperti di Jabatan Kebajikan Masyarakat, institut-institut pengajian tinggi awam atau swasta dan di tempat kerja.