Ambil iktibar air pasang besar, penduduk Kampung Tok Muda kini lebih bersedia
Tan Su Lin
Oktober 16, 2016 13:56 MYT
Oktober 16, 2016 13:56 MYT
Sejumlah 321 orang daripada 74 keluarga telah dipindahkan ke tiga buah pusat penempatan mangsa banjir di seluruh Selangor setakat 8.45 pagi tadi sebagai langkah awal menghadapi fenomena air pasang besar.
Tiga pusat penempatan berkenaan adalah satu di Klang dan dua di Sabak Bernam.
Bagi penduduk di Kampung Tok Muda, Klang yang dilanda banjir bulan lepas akibat fenomena air pasang besar, mereka mengambil langkah persiapan awal menghadapi fenomena berkenaan kali ini.
Seorang penduduk, Ahmad Azhari, 45, yang rumahnya ditenggelami air pada kejadian air pasang besar bulan lalu, dia sekeluarga berpindah lebih awal ke pusat pemindahan sementara yang disediakan.
"Pada 15 September, lalu kawasan kami dilanda banjir akibat fenomena air pasang besar. Kejadian berlaku pada 6.30 pagi waktu kami sekeluarga sedang tidur dan tidak disangka-sangka air naik dengan begitu cepat, kami tidak sempat menyelamatkan harta benda kami yang kebanyakannya rosak teruk."
"Kali ini kami lebih bersedia, antaranya kami berpindah ke pusat pemindahan lebih awal iaitu semalam 2 petang di dewan serbaguna dan memindahkan barangan seperti peralatan-peralatan elektrik dan sebagainya ke paras lebih tinggi sebab kita sudah tahu berdasarkan fenomena air pasang besar yang lalu, airnya boleh naik sehingga hampir 3 kaki di rumah," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
Ahmad adalah antara 236 mangsa daripada 53 keluarga yang dipindahkan ke Dewan Serbaguna Kampung Tok Wan setakat 8.45 pagi tadi.
Sementara itu, Penguasa Bomba Zon Klang, Amer Haizal Sahak, menasihati penduduk agar mengambil langkah persediaan untuk berpindah lebih awal.
"Bagi penduduk di lokasi risiko banjir saya nasihatkan agar mengikuti arahan supaya berpindah awal. Jika berpindah awal ia dapat menjamin keselamatan penduduk kerana air pasang difahamkan berlaku di awal pagi.
Waktu itu penduduk di rumah akan tidur jadi lebih selamat jika berpindah awal," ujarnya.
Hasil tinjauan Astro Awani di Kampung Tok Muda mendapati beg-beg pasir telah diletakkan di jeti nelayan kampung berkenaan sebagai persiapan menghadapi fenomena air pasang besar.
Difahamkan fenomena pertama mula direkod semalam pada 6 pagi pada ketinggian 5.2 meter.
Pada 6 pagi Ahad, ketinggian air meningkat sehingga paras 5.6 meter.
Pada fenomena sama bulan lepas, Kampung Tok Muda merupakan antara kawasan di Selangor yang dilanda banjir menyebabkan harta benda penduduk rosak teruk.