Ambil banduan bekerja, majikan bantu ubah masa depan

Bernama
April 13, 2024 04:30 MYT
Peluang kedua bagi memperbaiki kesilapan dan mengubah masa depan dengan menawarkan pekerjaan kepada banduan memberikan seribu makna kepada golongan ini. - Gambar hiasan/BERNAMA
BUTTERWORTH: Peluang kedua bagi memperbaiki kesilapan dan mengubah masa depan dengan menawarkan pekerjaan kepada banduan memberikan seribu makna kepada golongan ini.
Inisiatif Jabatan Penjara membantu banduan membina kehidupan lebih baik selepas dibebaskan mendapat kerjasama baik pihak majikan yang sanggup 'menjemput' prospek dari penjara dengan menyediakan pekerjaan dalam pelbagai bidang.
K.Suraindran, 41, pemilik sebuah syarikat mencuci kenderaan dan bangunan di Perai, di sini berkata beliau bekerjasama dengan Jabatan Penjara bagi memberi peluang kepada banduan memulakan kehidupan baharu.
"Saya mengambil banduan Orang Diparol (OD) dan Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) bekerja dengan syarikat saya sejak 2019 dan sehingga kini lebih 250 orang telah bekerja dengan kami, semuanya berjalan dengan baik.
"Memang pada awalnya saya sedikit risau dan hanya ambil dua banduan sahaja pada 2019 untuk bekerja di syarikat saya, namun lama-kelamaan sebenarnya mereka ini boleh menjalankan kerja dengan baik dan pada peringkat permulaan kami memberikan latihan terlebih dahulu," katanya ketika ditemui Bernama.
Berdasarkan pemantauan pihaknya sepanjang mengendalikan pekerja banduan, Suraindran berkata hanya dua atau tiga orang daripada 100 pekerja yang bermasalah melibatkan sikap mereka dan bukan berkaitan kes jenayah.
Beliau gembira kerana kebanyakan banduan yang tamat bekerja dan dapat memulakan kehidupan baharu selain tidak mengulangi kes jenayah lampau.
"Pada satu-satu masa saya menerima lima hingga 10 banduan dan sekarang ini terdapat tujuh prospek sedang bekerja di syarikat saya, mereka selalunya bekerja dengan kami antara tiga hingga 10 bulan bergantung kepada jumlah hukuman yang dijalani," katanya.
Beliau berkata pengambilan banduan menerusi OD dan PBSL itu antara lain dapat mengatasi masalah kekurangan pekerja warga asing dan secara tidak langsung dapat memberi peluang kedua kepada mereka.
Sementara itu, seorang banduan yang akan bekerja di syarikat Suraindran yang mahu dikenali sebagai Razak, 40-an, berkata dia sebelum ini dihukum penjara selama setahun kerana kesalahan dadah dan dibebaskan awal lima bulan.
Dia berkata peluang yang diberikan itu akan digunakan sebaik mungkin dan mahu membina hidup baharu selepas dibebaskan sepenuhnya.
"Saya anggap ini peluang kedua dan permulaan terbaik untuk saya berubah. Pekerjaan ini juga membolehkan saya berdikari serta memperoleh pendapatan bagi menyara diri," katanya yang bekerja sendiri sebelum ini.
Menurut Ketua Pengarah Penjara Datuk Nordin Muhamad sebelum ini, seramai 4,120 prospek atau 4.94 peratus daripada keseluruhan 80,000 banduan yang berada dalam penjara sedang mengikuti pemulihan dalam komuniti termasuk PBSL, perintah kehadiran wajib, parol dan rumah perantaraan.
-- BERNAMA
#kekurangan pekerja #banduan #pekerjaan #Jabatan Penjara
;