Ambil alih Hotel Syuen: Tingkat imej Ipoh, jadi bandar pelancongan antarabangsa
Aida Aziz
Februari 16, 2024 08:00 MYT
Februari 16, 2024 08:00 MYT
IPOH: Pengambilalihan Hotel Syuen oleh YTL Hospitality REIT (YTL REIT) baru-baru ini akan memberi peningkatan imej kepada bandar raya ini, selain menggamit lebih ramai pengunjung luar.
Keyakinan itu disuarakan Datuk Bandar Datuk Rumaizi Baharin yang berkata, rantaian antarabangsa dalam industri perhotelan itu bakal menjadi satu lagi tarikan terbaharu di Ipoh.
"Dalam bisnes perhotelan, kena ada international chain (rantaian antarabangsa), YTL akan ambil alih dan akan usahasama dengan syarikat antarabangsa, AC Hotels by Marriott.
"Apabila ada rantaian antarabangsa ini, ia akan memberi peningkatan imej kepada bandar raya. Dalam promosi pelancongan, imej itu penting.
"Selain daripada Hard Rock Cafe di Ipoh, Marriott juga ada nama besar dalam industri pelancongan," katanya semalam.
Dalam pada itu, beliau turut meletakkan harapan supaya Ipoh menjadi bandar pelancongan di peringkat antarabangsa.
"Kita harap dua atau tiga tahun lagi, Ipoh akan jadi bandar pelancongan di peringkat antarabangsa setaraf Pulau Pinang, Melaka dan Sabah," katanya.
Setelah hampir tiga tahun ditutup, Hotel Syuen yang terletak di Jalan Sultan Abdul Jalil di sini akan kembali beroperasi setelah diambil alih pemilik baharu.
Sebelum ini, media melaporkan, YTL REIT memeterai perjanjian jual dan beli bersama Syuen Hotel Bhd bagi mengambil alih Hotel Syuen di Ipoh, bagi pertimbangan tunai RM55 juta.
Hartanah yang akan diambil alih terdiri daripada sebidang tanah pegangan pajakan dan bangunan hotel yang dibina bersama dengan asetnya, iaitu bangunan 13 tingkat dengan 290 bilik dikategorikan sebagai hotel empat bintang.