Ambil 36 bungkus 'nasi ganja' dengan helikopter

Abd Razak Mohd Ali
Julai 23, 2021 13:12 MYT
Datuk Mior Faridalatrash Wahid mengesahkan, sebuah helikopter dikesan berada di Padang Ipoh pada jam 9.55 pagi hingga 10.15 pagi ini. - Foto Astro AWANI
IPOH: Sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh pagi ini, mengambil pesanan 36 bungkus nasi kandar popular di bandar raya ini, yang lebih dikenali sebagai 'nasi ganja'.
Kehadiran helikopter yang dipercayai milik sebuah syarikat swasta itu mengejutkan orang ramai kerana ia terbang rendah di udara sebelum mendarat.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalatrash Wahid yang dihubungi mengesahkan, sebuah helikopter dikesan berada di Padang Ipoh pada jam 9.55 pagi hingga 10.15 pagi.
“Setelah membuat semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh, didapati helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh sahaja dan tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya sudah menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak CAAM untuk siasatan lanjut.
Ambil 36 bungkus 'nasi ganja' dengan helikopter
Sementara itu, pemilik perniagaan nasi kandar yang enggan namanya disiarkan mengesahkan menerima tempahan 36 bungkus nasi berlauk ayam, daging, telur masin dari pelanggan di Kuala Lumpur.
Menurutnya, pada awalnya dia meragui sama ada tempahan itu benar atau gurauan kerana diberitahu pesanan akan diambil menggunakan helikopter.
"Saya agak ragu-ragu juga, kerana tidak pernah ada pelanggan yang mengambil tempahan dengan menaiki helikopter.
"Namun saya terkejut kerana rupa-rupanya tempahan makanan memang benar diambil menggunakan helikopter.
"Ini pertama kali tempahan diambil oleh pelanggan menggunakan helikopter. Ini merupakan tempahan paling mewah pernah saya terima, tetapi harganya tetap sama iaitu RM10 setiap bungkus," katanya.
#nasi ganja #helikopter #tiada kebenaran mendarat #Ipoh #Padang Ipoh #nasi kandar #Mior Faridalatrash Wahid #syarikat swasta #CAAM #pihak berkuasa penerbangan awam malaysia #pelanggan
;