Ambiga: Polis harus bertindak terhadap laporan Bersih 3.0

Arfa Yunus
April 18, 2013 20:41 MYT
“Pihak polis sepatutnya bertindak mengenai laporan yang dibuat oleh Suhakam dan tindakan mengikut prosedur (SOP) disiarkan supaya orang awam tahu mengenai prosedur mereka.”
Berikut merupakan cadangan yang dibuat oleh pengerusi bersama Bersih Datuk S. Ambiga berkenaan laporan Bersih 3.0 yang dibuat oleh Suhakam.
Laporan tersebut menyatakan bahawa pihak polis tidak dapat mengenal pasti pegawai yang terlibat di dalam video yang diserahkan sebagai bukti dan menurut Ambiga, ia menunjukkan bahawa pihak polis tidak membantu suruhanjaya tersebut.
“Antara penemuan yang menarik daripada laporan tersebut adalah isu dimana salah guna kuasa keatas peserta, amaran yang dikeluarkan oleh pihak polis tidak mencukupi, serangan fizikal ke atas mereka dan juga pengamal media.
“Isu lain ialah banyak laporan telah dibuat tetapi tiada sebarang siasatan dijalankan. Saya rasa pihak polis seharusnya bertindak dengan menyiasat laporan yang telah difailkan berkaitan keganasan,” tambah Ambiga.
Apabila dihubungi oleh Astro Awani, Ambiga menyebut para ke 72 laporan tersebut.
“Dalam para 72 laporan tersebut dinyatakan salah guna kuasa dan panel tidak dapat mengenal pasti justifikasi jelas tindakan tersebut dan pihak polis didorong perasaan marah, kecewa dan keperluan untuk mengenakan hukuman berbanding dengan kewajipan,” beliau berkata.
Mengikut beliau, pihak polis seharusnya memberikan cadangan berkenaan jumlah pampasan yang sepatutnya diterima oleh mereka yang diserang.
“Saya rasa ini merupakan salah satu usaha mempertahankan nama baik semua penyokong Bersih dan pihak polis seharusnya memberikan pampasan.
“Ini adalah kerana, pada penghujung hari, ramai yang cedera semasa perhimpunan tersebut dan pada pendapat saya, laporan ini adalah baik,” tambah beliau.
#aduan #Bersih 3.0 #Datuk S. Ambiga #Suhakam
;