Ambiga dipanggil polis berhubung seruan jatuhkan kerajaan
Hamzah Hamid
Julai 30, 2015 20:56 MYT
Julai 30, 2015 20:56 MYT
Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan akan dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat polis Dang Wangi pada jam 3 petang esok (Jumaat, 31 Julai) berkenaan dakwaan mengajak orang ramai turun ke jalanan bagi menjatuhkan kerajaan.
Perkara itu disahkan oleh seorang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Dang Wangi yang dihubungi Astro AWANI sebentar tadi.
“Siasatan mengenai perkara itu akan dijalankan oleh para pegawai dari Bukit Aman,” kata sumber tersebut.
Ambiga yang juga Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam) difahamkan akan disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan bagi merujuk kepada kesalahan ‘aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen’.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah meminta Ambiga menafikan dakwaan menyeru orang ramai menukar kerajaan melalui platform perhimpunan Bersih 4 yang dirancangkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).
Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada sidang media Ambiga pada Selasa lalu.
"Adalah tidak salah untuk mengadakan perhimpunan jika tidak puas hati dengan pentadbiran kerajaan. Tapi kita ikutlah Akta Perhimpunan Aman dan mereka perlulah melalui cara dan saluran yang betul. Datanglah berunding dengan kami dan buat permohonan yang sepatutnya seperti tempat perhimpunan.
"Bagaimanapun, perbuatan menyeru orang ramai untuk turun ke jalanan bagi menggulingkan kerajaan adalah satu kesalahan," tegasnya.
Menurut Khalid, jika perhimpunan itu dibuat tanpa permit atau izin, peserta Bersih 4 akan dianggap sebagai melanggar undang-undang dan akan dikenakan tindakan.
Tambahnya, setiap perkara yang mahu dijalankan perlulah dipastikan tidak melanggar peruntukan dalam Perlembagaan, manakala pihak polis bertanggungjawab untuk memastikan semua tindakan tersebut mengikut undang-undang.
"Saya telah meminta untuk menarik balik dan menafikan seruan (berkenaan protes jalanan untuk menjatuhkan kerajaan). Polis sedang menunggu maklum balasnya sehingga hari ini. Jika dia tidak memberi respon, polis akan memanggilnya," kata Khalid.
Walau apapun, beliau memberitahu bahawa pihak polis tetap akan membuat persediaan yang patut bagi menghadapi sebarang penganjuran perhimpunan seperti itu.
Khalid menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) Jabatan Siasatan Jenayah di Maktab PDRM Cheras hari ini.
Sementara itu pada Rabu, Jawatankuasa Bersih 2.0 yang dipengerusikan Maria Chin Abdullah turut mendesak beberapa tindakan yang menurut mereka bertujuan mengembalikan kepercayaan umum dalam siasatan melibatkan syarikat pelaburan Negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Antaranya adalah Bersih 2.0 mahukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memperincikan butiran akaun bank, bercuti daripada tugas sepanjang siasatan dijalankan, pembekuan akaun-akaun bank, serta mendedahkan hasil siasatan 1MDB kepada umum secepat mungkin.