Ambang tahun baru, Prasarana lanjutkan perkhidmatan sehingga jam 2 pagi
Bernama
Disember 26, 2017 17:21 MYT
Disember 26, 2017 17:21 MYT
Sempena sambutan Tahun Baharu 2018 pada Ahad malam, waktu operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel, Transit Aliran Massa (MRT), Bas Rapid Transit (BRT) dan bas Rapid KL di beberapa stesen terpilih akan dilanjutkan hingga 2 pagi.
Prasarana dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkhidmatan LRT Kelana Jaya bagi stesen KLCC dan Masjid Jamek akan dilanjutkan hingga 2 pagi, manakala stesen Pasar Seni, Ampang Park dan USJ7 akan tamat pada 1 pagi.
"Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya bagi LRT laluan Seri Petaling pula akan tamat perkhidmatannya pada 2 pagi," kata kenyataan itu.
Bagi aliran Monorel pula, operasi di stesen Bukit Bintang akan berakhir pada jam 1 pagi, sementara perkhidmatan MRT laluan Bukit Bintang, Mutiara Damansara dan Pasar Seni juga akan tamat pada waktu sama.
Perkhidmatan BRT laluan Sunway di stesen Mentari, SunMed, SunU-Monash,South Quay-USJ 1 dan USJ 7 akan menghentikan operasinya pada 1 pagi, manakala stesen Sunway Lagoon dan Sunway-Setia Jaya pula berakhir pada 2 pagi.
Bas Rapid KL terakhir yang berlepas pada 2 pagi melibatkan laluan 751 (Pasar Seni-Taman Sri Muda), 772 (Pasar Seni-Subang Suria), 780 (Pasar Seni-Kota Damansara), 300 (Mushi Abdullah-Pandan Mewah), 640 (Pasar Seni-Taman Sentosa), 450 (Lebuh Pudu-Terminal Kajang), 220 (Munshi Abdullah-Taman Melawati), 180 (Pasar Seni-Taman Dato Senu), 173 (Medan Pasar-Taman Jasa Utama) dan 600 (Pasar Seni-Puchong Utama).
Prasarana menasihati warga kota yang mengikuti acara ambang tahun baharu supaya menggunakan kad My Rapid atau 'Touch n Go' bagi melancarkan perjalanan, parkir kenderaan di fasiliti 'Park and Ride' dan patuh kepada arahan pihak berkuasa.
-- BERNAMA