Ambang tahun baharu: Polis tahan remaja lumba haram, bakar mercun di jalanan
Adie Sufian Zulkefli
Januari 1, 2023 13:57 MYT
Januari 1, 2023 13:57 MYT
ALOR SETAR: Tindakan liar sekumpulan remaja menyambut tahun baharu dengan membakar mercun dan bunga api di jalanan seterusnya berlumba haram menerima padah apabila mereka ditahan dalam Op Samseng awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, perbuatan mereka dikesan pasukan risik Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik seterusnya seterusnya menyertai perlumbaan bersama kumpulan remaja terbabit.
Katanya, intipan yang dijalankan hampir satu jam di lokasi mendapati kumpulan remaja itu mula memenuhi kiri dan kanan di Jalan Pegawai sambil bertindak liar.
Katanya, mereka tidak menyedari dalam kumpulan pelumba itu terdapat anggota yang melakukan penyamaran turut berlumba bersama.
Pelbagai aksi berbahaya dilakukan beberapa penunggang ini yang mengundang kecelakaan jalan raya dan malah paling berbahaya ketika perlumbaan itu terdapat penonton di kiri dan kanan jalan.
Bagaimanapun keghairahan kumpulan ini akhirnya terjerat apabila polis mula mengepung jalan itu dan menahan kesemua mereka.
"(Polis) menumpukan kepada dua kawasan samseng jalan raya. Operasi bermula pada awal 31 Disember dari pukul 11 malam. Kami buat pemantauan sekitar Jalan Pegawai ini dan kita masuk ke lokasi pada jam 1 pagi dan operasi bermula pada jam 3 pagi. Hasilnya, kami telah menahan hampir 300 ke 400 buah motosikal," ujar Ahmad Shukri.
Beliau berkata demikian ketika menyertai Op Samseng itu awal pagi tadi.
Hasilnya, sebanyak 342 buah motosikal dan kereta ditahan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 254 saman Pol 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Manakala 22 buah motosikal disita kerana melakukan pelbagai kesalahan selain mengubah suai, tiada lesen dan motosikal curi.
Operasi yang berakhir jam 8 tadi itu melibatkan empat pegawai dan 60 anggota termasuk anggota bantuan.