Ambang Tahun Baharu 2024: Rapid KL lanjut waktu operasi, tambah kekerapan tren
Afiezy Azaman
Disember 29, 2023 09:30 MYT
Disember 29, 2023 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memaklumkan perkhidmatan rangkaian rel dan bas Rapid KL akan dilanjutkan waktu operasinya bersempena sambutan ambang tahun baharu 2024.
Dalam satu kenyataan, Prasana berkata, ini bagi memenuhi keperluan warga ibu kota yang menghadiri sambutan itu di sekitar ibu negara.
"Lanjutan operasi ini melibatkan 12 stesen rel transit aliran ringan (LRT), transit aliran masa (MRT) dan Monorel KL.
"Ini termasuk tiga Stesen Bus Rapid Transit (BRT) dan 21 laluan bas Rapid KL dan perantara MRT.
"Stesen-stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT akan dilanjutkan waktu operasi sehingga jam 1.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Prasarana menambah, stesen-stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT melibatkan laluan Kelana Jaya iaitu KLCC, Masjid Jamek; laluan Ampang/Sri Petaling di Masjid Jamek, Bandaraya, IOI Puchong Jaya,
Maluri; Laluan Monorel di Bukit Bintang; Laluan Kajang di Bukit Bintang, TRX, Cochrane, Maluri; MRT Laluan Putrajaya di TRX; BRT Laluan Sunway di Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash.
Manakala jelasnya, stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa namun penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.
"Semua stesen pertukaran rel turun dilanjutkan operasi bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir.
Sementara itu, Prasana berkata, beberapa laluan bas Rapid KL yang terpilih juga akan melanjutkan waktu perkhidmatan hingga 1.30 pagi.
Justeru itu, Prasarana menyarankan penumpang menggunakan kad Touch n Go bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen atau ketika menaiki bas.
"Bagi pengguna token, anda digalakkan untuk membeli token pergi dan balik sebelum keluar dari stesen. Rapid KL akan menambah bilangan anggota dan kakitangan operasi bagi menyokong keperluan operasi dan membantu melancarkan perjalanan anda.
"Bagi keselesaan pengguna, kekerapan tren bagi semua perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel akan ditambah bermula jam 1.00 petang pada hari tersebut sehingga tamat waktu operasi.
"Rapid KL menyarankan warga kota untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada hari tersebut bagi mengelak dari terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas terutamanya berdekatan kawasan-kawasan yang akan menganjurkan acara sempena tahun baharu," katanya.