Amaran tegas kepada peniaga kenakan caj tambahan pembayaran tanpa tunai - Armizan

Bernama
Jun 29, 2024 19:05 MYT
Armizan berkata sekiranya ada dalam kalangan peniaga didapati mengambil kesempatan mengenakan caj tambahan, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.- Gambar fail/Bernama
PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran tegas kepada semua peniaga terutama yang menyediakan kemudahan pembayaran tanpa tunai supaya tidak mengenakan caj tambahan dalam setiap transaksi pengguna.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata peraturan dan undang-undang itu jelas serta perlu dipatuhi oleh setiap peniaga dan sekiranya ada dalam kalangan mereka didapati mengambil kesempatan mengenakan caj tambahan, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"Kita ingin menegaskan kepada peniaga supaya menjalankan perniagaan mereka mengikut etika, peraturan dan undang-undang. Undang-undang tidak membenarkan sekiranya (pembayaran) menggunakan Kod QR (Kod Respons Pantas), transaksi tanpa tunai ini, caj tambahan tidak boleh dikenakan kepada pelanggan.
"Itu peraturan ditetapkan Bank Negara. Kita akan ambil tindakan sekiranya terdapat peniaga yang mengenakan caj tambahan kepada pengguna yang menggunakan pembayaran tanpa tunai," katanya kepada pemberita selepas menghadari program penyerahan bas dan lori sebuah syarikat swasta di sini hari ini.
Pada Rabu, KPDN Melaka mengenakan kompaun RM200 kepada sebuah gerai menjual makanan apabila didakwa mengenakan caj tambahan sebanyak satu peratus bagi setiap transaksi penggunaan Kod QR.
Armizan berkata masyarakat tanpa tunai adalah satu trend global dan penggunaan pembayaran tanpa tunai turut digalakkan bukan hanya di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.
Sehubungan itu, katanya tidak ada sebarang akta atau peraturan yang menghalang mana-mana premis perniagaan sekiranya hanya ingin mengkhususkan transaksi dalam bentuk pembayaran tanpa tunai sahaja.
"Jadi maksudnya tiada larangan kerana ia adalah keputusan peniaga sama ada mereka memberi pilihan atau tidak kepada pengguna untuk menggunakan pembayaran tanpa tunai atau secara tunai.
"Pengguna mempunyai hak memilih jika mereka rasa ingin membuat transaksi secara tunai, maka boleh memilih premis yang menawarkan kaedah pembayaran itu. Saya fikir rata-rata di Malaysia sebahagian besar premis masih membenarkan penggunaan transaksi tunai dalam sebarang pembayaran," katanya.
Bagaimanapun, Armizan berkata kerajaan memahami ada sesetengah pengguna masih belum terbiasa menggunakan transaksi tanpa tunai termasuk di kawasan mempunyai masalah dalam aspek telekomunikasi.
Justeru, kementeriannya sentiasa mengalu-alukan sebarang aduan daripada pengguna bagi melihat situasi semasa sama ada masyarakat di kawasan berkenaan masih memerlukan transaksi tunai atau sebaliknya.
"Kita akan mengadakan advokasi, rundingan dengan premis perniagaan terlibat supaya mereka boleh mempertimbangkan untuk membuka ruang kepada transaksi tunai. Kita tidak lepas tangan. Kita akan membantu pengguna di kawasan tertentu yang tidak ada pilihan langsung dalam membuat transaksi urus niaga," katanya.
-- BERNAMA
#amaran tegas kepada peniaga #Armizan Mohd Ali #kemudahan pembayaran tanpa tunai #caj tambahan
;