Amaran ribut petir di negeri utara, Sarawak
Bernama
Oktober 31, 2024 10:10 MYT
Oktober 31, 2024 10:10 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bagi tiga negeri di utara Semenanjung dan beberapa kawasan di Sarawak sehingga 1 tengah hari ini.
Berdasarkan amaran yang dikeluarkan pada 9 pagi, ribut petir dijangka berlaku di seluruh daerah Pulau Pinang, serta di Kedah yang meliputi Langkawi, Kuala Muda, Kulim, dan Bandar Baharu.
Di Perak, kawasan yang terlibat termasuk Kerian, Larut, Matang, Selama, Manjung, dan Bagan Datuk, manakala di Sarawak, amaran melibatkan Kuching, Betong, Sarikei, Mukah, Bintulu, dan Miri.
MetMalaysia mengeluarkan amaran ini berdasarkan tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm) sejam yang dijangka berlangsung lebih dari satu jam.
-- BERNAMA