Amaran ribut petir di lapan negeri, KL dan Putrajaya hari ini
Bernama
Oktober 15, 2024 11:15 MYT
Oktober 15, 2024 11:15 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bagi lapan negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya sehingga 1 tengah hari ini.
Berdasarkan amaran yang dimuat naik di media sosial jabatan pada 10.10 pagi, negeri yang dijangka mengalami ribut petir itu ialah Pulau Pinang, Selangor dan Melaka manakala di Pahang, melibatkan daerah Bentong serta Rompin.
Johor dijangka paling terjejas dengan cuaca itu, melibatkan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru manakala di Negeri Sembilan, daerah diramal terlibat ialah Seremban, Port Dickson, Rembau dan Tampin.
Cuaca sama juga diramal di Kubang Pasu, Kota Setar dan Bandar Baharu di Kedah manakala di Perak, melibatkan Kerian, Larut, Matang, Selama, Manjung dan Bagan Datuk. - BERNAMA