Amanat Hari Kebangsaan: Amaran Perdana Menteri buat penghasut isu perkauman

Ridauddin Daud
Ogos 30, 2024 19:03 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Perdana Menteri memberi amaran tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa yang menghasut rakyat sehingga membawa ke arah keganasan, kebencian dan permusuhan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat segelintir pihak yang mahu menjadi popular dengan membangkitkan sentimen berkenaan.
Namun, beliau memberi amaran agar jangan dihina mana-mana kaum, agama atau wilayah di negara ini.
“Andai kata ada mana-mana kelompok kecil yang bawa hasutan kaum ke arah keganasan, kebencian dan permusuhan antara satu sama lain.
“Saya tidak peduli apakah disenangi media antarabangsa atau luar, tugas kita adalah selamatkan negara kita yang tercinta ini.
“Kita gunakan segala kuasa dan kekuatan yang ada. Kalau tidak cukup, kita pinda, tambah peruntukan undang-undang.
“Kita ambil tindakan supaya negara ini selamat dan dapat diangkat menjadi negara hebat di rantau dan dunia ini,” katanya.
Tegasnya, Malaysia kini dalam landasan yang tepat, mampu diangkat menjadi lebih cemerlang dan tindakan sebegitu perlu dibendung sebaik mungkin.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya pada Jumaat.
Dalam ucapan sama, beliau turut mengajak rakyat Malaysia benar-benar memaknai erti kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan 2024 yang akan disambut pada esok
Beliau juga menegaskan keterlanjuran yang berlaku sebelum ini termasuk melibatkan salah guna kuasa dan penyelewengan harus dihentikan.
“Kita belajar dari sejarah. Buta sejarah, buta hati, buta perasaan, buta perikemanusiaan akan menyebabkan negara ini dipenuhi dengan hasutan, dengki, khianat, mengizinkan keterlanjuran rasuah dan penyelewengan.
“Bila keadaan sampai ke tahap yang sudah rosak, tidak mungkin mudah diperbaiki lagi,” ujarnya.
#Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #sentimen perkauman #Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 #rakyat Malaysia #amaran tegas #Hari Kebangsaan 2024