Amaran kenaikan air sungai di tiga daerah akibat hujan lebat

Bernama
Disember 21, 2014 23:05 MYT
Anggota Bomba dan Penyelamat memindahkan beberapa penduduk Kampung Bukit Tadok menggunakan bot penyelamat. - Foto BERNAMA
Bahagian Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu hari ini mengeluarkan amaran kenaikan air sungai bermula pukul 7.00 malam ini di sekitar Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.
Menurut Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Roslina Ngah, setakat pukul enam petang, rekod data taburan hujan menunjukkan bacaan yang sangat lebat di tiga daerah tersebut, terutama di bahagian pedalaman.
"Terdapat enam stesen data hujan yang mencatat bacaan sangat lebat melebihi 80 milimeter iaitu Pasir Raja (188 mm) dan Kuala Jengai di Dungun (162 mm); Kuala Ping (118 mm) dan Kampung Sekayu di Hulu Terengganu (84 mm); Hulu Angga di Besut (87 mm).
"Manakala di Kemaman, tiga stesen data yang menunjukkan taburan hujan sangat lebat ialah di Air Putih (196 mm), Tebak (237 mm) dan di JPS Kemaman (237 mm)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, akibat dari hujan lebat itu, paras air Sungai Kemaman dan Sungai Dungun kembali menunjukkan trend meningkat di mana Sungai Dungun di Pasir Raja telah mencatat bacaan setinggi 37.6 meter mengatasi paras bahaya 36 meter pada pukul enam petang.
Roslina berkata beberapa buah kampung di pedalaman Hulu Dungun dijangka mengalami banjir akibat limpahan Sungai Dungun.
"Ramalan pertembungan air laut pasang bermula esok hingga Sabtu (27 Dis) akan menyebabkan beberapa kawasan yang berisiko banjir semula sekiranya hujan masih berterusan pada malam ini," katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk agar sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan mengikut arahan jabatan dan agensi penyelamat dalam operasi banjir demi keselamatan mereka.
Sementara itu sehingga pukul 10 malam ini, sebanyak 44 pusat pemindahan masih dibuka di seluruh Terengganu yang menempatkan 4,287 mangsa berbanding 4,375 orang pada 7 petang tadi, menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu.
Daripada jumlah itu, Dungun mencatatkan paling ramai mangsa sebanyak 2,029 orang ditempatkan di 16 pusat pemindahan, diikuti Kemaman 1047 orang (11 pusat) dan Besut 421 orang (7 pusat).
Sementara di Hulu Terengganu kekal sebanyak 211 orang (3 pusat), Kuala Terengganu 521 orang (4 pusat), Marang 36 orang (sebuah pusat) serta Setiu 22 orang (2 pusat).
#air sungai #amaran #JPS #kenaikan #lebat #MKN #Roslina Ngah #Taburan hujan #terengganu
;