Amaran Jabatan Imigresen kepada majikan

Sinar Harian
November 7, 2018 14:12 MYT
Mustafar Ali berkata langkah itu akan diambil berikutan terdapat majikan yang masih berdegil dan melanggar peraturan ditetapkan.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bertindak tegas terhadap mana-mana majikan yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata langkah itu akan diambil berikutan terdapat majikan yang masih berdegil dan melanggar peraturan ditetapkan oleh kerajaan berhubung proses pengambilan pekerja warga asing di negara ini.
Beliau berkata, untuk tempoh sejak 1 Januari sehingga 6 November tahun ini, seramai 1,163 majikan di seluruh negara telah ditangkap dan dikenakan tindakan penguatkuasaan berikutan cuba melindungi Pati.
"Untuk Selangor pula, kita telah tangkap seramai 76 majikan bagi tempoh sama setakat ini malah kami turut mengeluarkan sebanyak 235 saman saksi kepada pihak terlibat.
"Pihak JIM menitikberatkan aspek penguatkuasaan bagi memastikan majikan-majikan yang degil ini dapat dikenakan tindakan sewajarnya,"katanya ketika sidang media selepas turun padang melawat Pejabat Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Anggerik Mall, hari ini.
Selain itu, Mustafar berkata pihaknya juga akan turut menguatkuasakan pemantauan di pintu-pintu khas imigresen melibatkan golongan kenamaan (VIP) bagi membanteras sebarang kegiatan pembolosan.
Beliau berkata, langkah itu adalah sejajar dengan saranan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mengarahkan pemeriksaan keselamatan di laluan khas VIP di lapangan terbang diperketatkan bagi membendung kegiatan pembolosan.
"Ini kerana kita dapati ada juga kes dimana pasport individu VIP itu tidak dibawa sendiri oleh beliau dan diserahkan melalui pegawai khas atau setiausaha sulit mereka.
"Dalam sistem JIM, kita mewajibkan supaya pemegang pasport untuk hadir sendiri bagi melalui beberapa proses pemeriksaan dan perkara ini akan diperketatkan selepas ini,"katanya.
#Imigresen #jabatan imigresen #kerajaan #keselamatan #Mustafar Ali #pati #saman #warga asing
;