Amaran hujan sangat lebat di 11 kawasan negeri pantai timur hingga esok
Bernama
Disember 30, 2021 18:22 MYT
Disember 30, 2021 18:22 MYT
KUALA LUMPUR: Amaran cuaca peringkat bahaya (merah) iaitu hujan sangat lebat berterusan diramal di 11 kawasan di tiga negeri pantai timur Semenanjung melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang hingga Jumaat (esok).
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), amaran yang dikeluarkan pada 3.50 petang hari ini melibatkan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan, manakala di Terengganu meliputi Kemaman, Besut, Dungun dan Hulu Terengganu; serta Kuantan, Jerantut, Maran dan Pekan di Pahang.
Amaran cuaca buruk (jingga) iaitu hujan lebat berterusan turut dikeluarkan untuk kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan, manakala di Terengganu melibatkan Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Tanah Tinggi Cameron, Bera, Lipis, Temerloh dan Rompin di Pahang.
Sementara itu, seluruh negeri Perlis dan Johor serta Hulu Perak (Perak); Raub dan Bentong (Pahang); serta Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling di Kedah diletakkan di bawah amaran waspada (kuning) iaitu hujan berterusan hingga Sabtu (1 Jan).
Amaran hujan berterusan dijangka hingga Ahad (2 Jan) pula melibatkan kawasan di Sabah - Ranau, Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
Menerusi kenyataan berasingan, Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata luruan monsun dijangka berterusan hingga 3 Jan dan pada masa sama berlaku pembentukan awan hujan aktif di Laut China Selatan dan Laut Sulu.
Katanya, keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Sabah (hingga 2 Jan) manakala Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Perlis dan Johor hingga 3 Jan.
"Dalam pada itu, negeri di pantai barat Semenanjung melibatkan selatan Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Melaka akan turut mengalami keadaan cuaca ribut petir yang lebih kerap pada sebelah petang hingga malam.
"Selain itu, angin kencang dan laut bergelora di perairan pantai timur Semenanjung serta timur Johor, Sarawak dan Sabah diramal berterusan hingga 2 Jan," katanya.
Terdahulu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir secara berperingkat di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu malam ini (30 Dis), manakala esok di Pahang dan Johor (bermula 2 petang)
-- BERNAMA