Amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya di Pahang, Johor hingga Isnin

Bernama
Januari 28, 2023 23:46 MYT
MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya di Pahang dan Johor sehingga Isnin ini (30 Jan). - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya di Pahang dan Johor sehingga Isnin ini (30 Jan).
MetMalaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan daerah yang terlibat di Pahang adalah Rompin manakala Johor melibatkan Mersing dan Kota Tinggi.
Dalam kenyataan sama MetMalaysia turut memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk diramalkan berlaku sehingga Isnin ini di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
Di Kelantan ia melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh; Pahang (Kuantan dan Pekan) manakala Johor (Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru).
Selain itu, hujan berterusan tahap waspada diramalkan berlaku di Kelantan melibatkan Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai; Pahang (Jerantut dan Maran) dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian) sehingga Isnin ini.
-- BERNAMA
#MetMalaysia #amaran hujan sangat lebat #Pahang #Johor
;