Amaran hujan peringkat merah di Pantai Timur
Anthea Yap
November 27, 2015 18:38 MYT
November 27, 2015 18:38 MYT
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat merah dan jingga bagi negeri Pantai Timur serta Timur Johor yang dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.
METMalaysia dalam kenyataannya memaklumkan hujan lebat peringkat merah membabitkan daerah Kota Bharu, Pasir Putih, Bachok dan Tumpat di Kelantan.
Manakala di Terengganu, daerah yang terlibat ialah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Amaran hujan lebat peringkat jingga pula dikeluarkan bagi daerah Kuala Krai, Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Mas di Kelantan dan Hulu Terengganu.
Selain itu, daerah Mersing, Kota Tinggi, Segamat, Kluang, Kulaijaya dan Johor Bahru turut dikeluarkan amaran peringkat jingga.
Di Pahang, beberapa daerah termasuk Kuantan, Pekan dan Rompin juga berlaku hujan sederhana.
Hujan lebat peringkat merah ialah amaran kritikal yang boleh mengakibatkan banjir teruk berlaku.
Manakala hujan lebat peringkat jingga ialah amaran hujan yang berlaku secara berterusan dan sederhana.