Amaran hujan lebat tahap buruk di Sarawak hingga Isnin
Bernama
Februari 25, 2023 20:03 MYT
Februari 25, 2023 20:03 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di beberapa kawasan di Sarawak hingga Isnin depan.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan keadaan itu diramal berlaku di Kuching, Serian, Samarahan dan Mukah.
Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Bintulu (Tatau dan Bintulu), Sarawak serta di Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat, Sabah dalam tempoh yang sama.
Sementara itu, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim (Perak), Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor juga dijangka mengalami hujan berterusan (waspada) bermula Selasa (28 Feb) hingga Rabu depan.
MetMalaysia menerusi hantaran di laman Facebook rasmi turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama) di perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan Sarawak, Sabah Barat dan Labuan hingga Rabu depan.
Keadaan itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi dan sukan laut.
Dalam hantaran itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran kenaikan paras air laut di perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan bermula esok hingga Selasa depan yang boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai.
Amaran angin kencang dan laut bergelora untuk perkapalan (kategori tiga) dengan kelajuan melebihi 60 kilometer sejam (km/j) serta ombak mencapai ketinggian melebihi 4.5 meter dijangka turut berlaku di perairan Condore, utara Bunguran dan Barat Reef North hingga Rabu depan.
Amaran sama bagi kategori dua dengan angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 km/j dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter pula dijangka berlaku di perairan Samui, Tioman, selatan Bunguran, Timur Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan Barat Palawan hingga Rabu depan.
Menurut MetMalaysia, kedua-dua keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai termasuk menangkap ikan, perkapalan, perkhidmatan feri dan pekerja di pelantar minyak.
-- BERNAMA