SHAH ALAM: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh negeri sehingga 12 tengah hari, Isnin.

Agensi itu memaklumkan, amaran tersebut melibatkan seluruh Perlis, Pulau Pinang dan daerah Kerian di Perak.

Selain itu turut berlaku di Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu); Negeri Sembilan (Port Dickson); Johor (Muar dan Kota Tinggi) dan Sarawak (Mukah, Bintulu dan Miri).

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mili meter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Orang ramai boleh melayari laman web MetMalaysia www.met.gov.my untuk mengetahui maklumat terkini berkaitan cuaca. - Sinar Harian