Amaran hujan berterusan: DOF nasihat nelayan, penternak akuakultur berjaga-jaga
Bernama
Oktober 27, 2022 17:40 MYT
Oktober 27, 2022 17:40 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menasihatkan nelayan pantai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan peka terhadap laporan ramalan cuaca dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dari semasa ke semasa.
Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Sufian Sulaiman berkata ia susulan ramalan MetMalaysia bahawa negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir pada penghujung bulan berkenaan.
"Justeru, saya berharap nelayan tidak mengabaikan ramalan ini bagi mengelak sebarang risiko berbahaya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan penternak ikan sangkar agar menangguhkan operasi baharu ternakan ikan ketika monsun timur laut dan mempertimbang untuk menjual ikan yang telah mencapai saiz pasaran.
Menurut Mohd Sufian penternak juga perlu memantau projek ternakan dengan lebih kerap bagi menyelamatkan ternakan yang masih ada, memeriksa struktur ban kolam dan mengambil serta menyimpan gambar sistem ternakan kolam atau tangki ikan sebelum, semasa dan selepas kejadian banjir.
"Sekiranya ditimpa banjir, para penternak dinasihatkan membuat laporan polis dan mengemukakan laporan kepada Pejabat Perikanan berdekatan serta memakai dan menyediakan peralatan keselamatan secukupnya.
"Selain itu, penternak juga dinasihatkan sentiasa peka dengan laporan ramalan dan perubahan cuaca melalui pautan www.met.gov.my, atau menerusi aplikasi myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia dan talian 1-300-22-1638," katanya.
Mohd Sufian berkata penternak akuakultur juga perlu mengikut arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara sekali gus mengambil langkah lain yang difikirkan perlu.
"DOF berharap dengan persediaan awal dan langkah berjaga-jaga ini dapat mengurangkan risiko kepada pengusaha akuakultur daripada mengalami kerugian dan kerosakan akibat banjir," katanya.
-- BERNAMA