Amaran hujan berterusan di Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu - MetMalaysia

Bernama
Januari 3, 2023 15:46 MYT
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran mengenai hujan berterusan tahap waspada di beberapa negeri. - Gambar fail/Unsplash
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran mengenai hujan berterusan tahap waspada di beberapa bahagian di Sarawak bermula hari ini hingga 4 Jan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 1.30 tengah hari ini MetMalaysia memaklumkan hujan berterusan itu dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.
Hujan berterusan juga diramal di beberapa kawasan di Sabah membabitkan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
Ikuti semua perkembangan mengenai banjir DI SINI!
MetMalaysia dalam kenyataan sama memberitahu keadaan cuaca sama turut dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula 6 hingga 7 Jan ini.
Menurut kenyataan itu, di Kelantan ia melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, sementara bagi Terengganu pula membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
-- BERNAMA
#amaran hujan #MetMalaysia #monsun timur laut #cuaca buruk
;