Amaran hujan berterusan di lapan negeri hari ini
Afiezy Azaman
Januari 1, 2022 08:07 MYT
Januari 1, 2022 08:07 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan bagi kategori bahaya, buruk dan waspada, susulan hujan lebat dijangka berterusan di kebanyakan kawasan di Semenanjung dan Sabah.
Status amaran cuaca buruk yang dikeluarkan pada jam 6.30 pagi itu berkuat kuasa sepanjang hari ini melibatkan Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Sabah.
"Hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Jempol dan Tampin).
"Sementara itu, hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), Negeri Sembilan (Rembau), Melaka, Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).
"Dalam pada itu, hujan berterusan tahap waspada juga dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang (Bentong dan Temerloh), Selangor (Hulu Langat), Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban dan Port Dickson), Johor (Pontian, Kulai dan Johor Bahru)," menurut MetMalaysia dalam satu kenyataan.
Hujan berterusan juga dijangka berlaku di negeri Sabah (Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Beluran) dan Kudat sehingga Ahad.