Amaran cuaca waspada dengan hujan lebat di Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor
Bernama
Disember 28, 2021 17:51 MYT
Disember 28, 2021 17:51 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan (WASPADA) peringkat kuning akibat luruan monsun yang sedang berlaku dan hujan lebat dijangka berterusan sehingga 3 Januari tahun depan di Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
Menurut kenyataan MetMalaysia hari ini, amaran hujan berterusan dikeluarkan untuk kawasan-kawasan di Sabah seperti di Tawau, Sandakan dan Kudat bermula hari ini sehingga 2 Januari 2022.
Sementara itu, hujan lebat dijangka akan berlaku bermula 30 Disember sehingga 1 Januari pada tahun hadapan bagi di seluruh negeri Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan seperti di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Manakala di Pahang, antara kawasan yang terlibat adalah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin selain Mersing, Johor.
Menurut MetMalaysia angin bertiup dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah di kawasan terbabit.
-- BERNAMA