Amaran banjir: Negeri, daerah diarah tingkat kesiapsiagaan
Astro Awani
Disember 29, 2021 19:07 MYT
Disember 29, 2021 19:07 MYT
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Daerah diarah meningkatkan kesiapsiagaan susulan Amaran Hujan Lebat Berpanjangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Arahan itu dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang turut melibatkan beberapa agensi-agensi berkepentingan yang lain.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku komander Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) perlu menyelaras persediaan menghadapi banjir yang dijangka berlaku bersama semua agensi responder yang terlibat.
"Berikutan banjir yang dilaporkan telah mula berlaku di daerah Sipitang, Sabah, semua agensi responder di Sabah turut diarah bersiapsiaga untuk bertindak dan membuka PKTK," memetik kenyataan itu.
Selain itu, NADMA memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mengeluarkan amaran banjir melibatkan empat buah negeri seperti di bawah:
i. Negeri Kelantan bermula 31 Disember 2021 jam 8.00 malam di Lembangan Sungai Kelantan melibatkan daerah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Machang; Lembangan Sungai Golok melibatkan daerah Tanah Merah (Jenob) dan Pasir Mas (Rantau Panjang) serta kawasan kawasan sekitarnya yang berisiko banjir
ii. Negeri Terengganu bermula 31 Disember 2021 jam 8.00 malam di Lembangan Sungai Besut melibatkan daerah Besut; Lembangan Sungai Terengganu melibatkan Terengganu serta kawasan kawasan sekitarnya yang berisiko banjir
iii. Negeri Pahang bermula 1 Januari 2022 jam 8.00 pagi di Lembangan Sungai Pahang melibatkan daerah Maran, Temerloh dan Jerantut; Lembangan Sungai Kuantan melibatkan daerah Kuantan (Sg. Lembing); Lembangan Sungai Rompin melibatkan daerah Rompin serta kawasan kawasan sekitarnya yang berisiko banjir
iv. Negeri Johor bermula 1 Januari 2022 jam 8.00 malam di Lembangan Sungai Mersing melibatkan daerah Mersing serta kawasan kawasan sekitarnya yang berisiko banjir
Justeru, NADMA menasihati penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir untuk berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir.