Amar Singh nafi rampasan 433 jam tangan bernilai RM80 juta
Astro Awani
Jun 13, 2018 14:16 MYT
Jun 13, 2018 14:16 MYT
Polis Diraja Malaysia menafikan ada mengeluarkan kenyataan berhubung rampasan beberapa jam tangan bernilai RM80 juta seperti yang dilaporkan sebuah akhbar bahasa Cina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, beliau juga tidak mengesahkan sebarang nilai rampasan yang dibuat pihaknya dalam siri operasi mencari di sebuah kondominium mewah yang terletak di ibu negara, baru-baru ini.
"Saya tidak mahu komen dan untuk pengetahuan, saya tidak mengeluarkan kenyataan mahupun pengesahan seperti yang dilaporkan akhbar itu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Rabu.
Laporan yang dikeluarkan semalam (12 Jun) oleh akhbar itu dipetik sebagai berkata, sejumlah 433 utas jam tangan dianggarkan bernilai RM80 juta ditemui dalam 37 beg yang dirampas dari kondominium yang dipercayai milik seorang bekas pemimpin negara.
Laporan suratkhabar itu turut dipetik berkata, hasil penilaian ke atas jam tangan tersebut oleh pakar menganggarkan kesemuanya mencecah RM80 juta.