Amar jadi rakan strategik SPRM, sebar mesej antirasuah kepada mahasiswa
Astro Awani
Ogos 7, 2022 17:24 MYT
Ogos 7, 2022 17:24 MYT
BANTING: Angkatan Mahasiswa Antirasuah (Amar) memainkan peranan sebagai rakan strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyampaikan mesej antirasuah kepada golongan mahasiswa di negara ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, ini kerana tugas menyampaikan mesej antirasuah bukan kerja mudah kerana melibatkan lebih satu juta pelajar meliputi Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), IPT swasta (IPTS), politeknik serta Kolej Komuniti seluruh negara.
Beliau berkata, pelaksanaan program pencegahan rasuah harus dilaksanakan dengan strategi berkesan dan efisien supaya visi Amar untuk mewujudkan generasi muda benci rasuah dalam usaha menjadikan Malaysia negara bebas rasuah akan dapat direalisasikan.
“Pelbagai kajian oleh para ilmuan dan pertubuhan antarabangsa mendapati pergerakan seumpama Amar ini merupakan komponen penting dan mampu menarik sokongan daripada pertubuhan dalam dan luar negara.
“Sebagai contoh, pergerakan antirasuah diterajui oleh pelajar di Thailand iaitu Thai Youth Anti-Corruption Network yang ditubuhkan pada 2012 telah mendapat sokongan kuat daripada United Nations Development Programme dan kerjasama dengan sektor swasta lain seperti Thai Chamber of Commerce, Thai Bankers’ Association dan Stock Exchange of Thailand (SET),” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Konvensyen Amar 2022 kali ke-8 di Kem El- Azzhar, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor dan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.
Seramai 118 mahasiswa terdiri daripada pemimpin Amar termasuk dari Institut Pendidikan Guru seluruh negara terlibat dalam konvensyen selama tiga hari yang bermula sejak Jumaat lalu.
Pada majlis itu juga sebanyak empat IPT dipilih sebagai IPT Terbaik iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi Universiti Awam Terbaik; Smart College Kuala Lumpur (Universiti Swasta Terbaik); Kampus Tun Hussein Onn Johor (Institut Pendidikan Guru Terbaik) dan Kolej Universiti Poly-Tech MARA (Institut Pendidikan MARA Terbaik).
Sementara itu, Presiden Amar UMS, Nur Raihana Azizee, 23, berkata dia merancang untuk menganjurkan seminar dan kursus dengan memfokuskan kepada misi dan visi Amar melibatkan lebih 71 ahli di universiti tersebut.
Katanya, banyak manfaat diperolehi menerusi konvensyen berkenaan seperti bertukar pendapat dan maklumat menerusi penganjuran seminar yang berskala besar pada masa akan datang.
Sementara itu, Presiden Amar Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur, Asniati Ambo, 22, berkata, dia ketika ini sedang menganjurkan pertandingan TikTok bertemakan integriti dan jati diri membabitkan semua pelajar di universiti tersebut sempena bulan kemerdekaan.
“Walaupun, kelab Amar baru ditubuhkan tahun lalu, kami sentiasa mengadakan slot ceramah dan kuiz integriti setiap kali pendaftaran pelajar baru diadakan,” tambahnya.
Presiden Amar Smart College Kuala Lumpur, Nik Muhammad Aizat Aiman Abdullah, 20, pula berkata, dia bercadang menganjurkan lebih banyak program untuk menggalakkan lebih ramai pelajar menyertai kelab itu.
“Kita harus mengajar mereka membenci rasuah dari sekarang dan apabila mereka keluar selepas tamat belajar, mereka akan menjadi mahasiswa yang antirasuah,” katanya.