Amang seksual terhadap anak rakan, pegawai penjara dipenjara 20 tahun
Petrus Bernard
Mei 24, 2022 17:08 MYT
Mei 24, 2022 17:08 MYT
TAWAU: Serang pegawai penjara dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau, di sini hari ini setelah didapati bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan, yang juga anak kawannya Januari tahun lalu.
Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh Marino Majabin, 46, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ke atas mangsa yang berusia 15 tahun di dalam tandas di sebuah rumah di Jalan Air Panas Taman Ehsan di sini pada 12 Januari 2021, jam 3.30 pagi.
Tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan amang seksual fizikal dengan menggunakan jari terhadap mangsa.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan di lokasi dan masa yang sama iaitu melakukan amang seksual fizikal dengan meraba dan mengigit bahagian tubuh remaja terbabit.
Untuk kedua-dua pertuduhan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara serentak sementara hukuman sebat secara berasingan.
Mengikut fakta kes, mangsa bersama bapanya telah datang ke rumah tertuduh untuk berubat secara tradisional kerana mendakwa mempunyai masalah gangguan makhluk halus.
Pada awalnya tertuduh memberi rawatan di ruang tamu sebelum memaklumkan untuk memandikan pengadu di dalam tandas lalu melakukan perbuatan amang seksual tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana manakala tertuduh diwakili peguam bela, AG Amli Noraufe AG Nohin.