PU Azman dihukum penjara 7 tahun, dua sebatan kes amang seksual
Astro Awani
Disember 17, 2024 16:10 MYT
Disember 17, 2024 16:10 MYT
SEREMBAN: Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan ke atas pendakwah selebriti Azman Syah Alias, 43, pada prosiding sebutan semula kes.
Ringkasan AI
- Hakim menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan kepada PU Azman selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki bawah umur.
- Mahkamah turut memerintahkan Azman menjalani kaunseling pemulihan selama dua tahun dan pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.
- Keputusan hukuman dibuat selepas mengambil kira kepentingan awam yang melebihi kepentingan tertuduh sendiri.
Hakim Datuk Surita Budin membuat keputusan berkenaan selepas tertuduh, yang lebih dikenali sebagai PU Azman, mengaku bersalah di atas empat pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki bawah umur, dua tahun lalu.
Selain itu, beliau turut memerintahkan Azman untuk menjalani kaunseling pemulihan dan melalui pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.
Ketika membacakan alasan penghakiman, Surita berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kepentingan awam melebihi faktor kepentingan tertuduh sendiri.
Mengikut kertas pertuduhan, pendakwah selebriti itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua mangsa lelaki berusia 16 dan 17 tahun, di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai, dekat sini, di antara jam 8.30 malam dan 5 pagi pada 5 Februari 2022 dan 6 Julai 2022.
Peguam bela Mohamad Zahid Ahmad dalam hujah rayuan berkata, mahkamah dimohon untuk mengambil kira faktor bahawa pengakuan Azman telah menjimatkan masa semua pihak dan tidak perlu lagi menyambung perbicaraan.
Selain itu, beliau berkata, tertuduh juga telah memohon ampun dan maaf atas kesalahan yang dilakukan.
"Tertuduh mohon hukuman pemenjaraan yang paling minimum dari tarikh beliau dijamin iaitu 9 Oktober lalu.
"Beliau telah dipenjara dari 27 September lalu dan sehingga kini masih menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan di Mahkamah Klang," katanya lagi.
Mohamad Zahid menambah bahawa Azman tidak pernah disabitkan dengan apa-apa kesalahan di mahkamah sebelum ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi dalam hujah balasnya bagaimanapun berkata, pengakuan salah itu tidak semestinya mendorong mahkamah untuk meringankan hukuman.
Tegasnya, satu hukuman berbentuk pengajaran bukan saja harus diberikan kepada tertuduh malah kepada masyarakat secara amnya.