Amanat sulung KSN esok, tema 'Reformasi Perkhidmatan Awam'

Bernama
September 9, 2024 10:45 MYT
Amanat khas itu akan disampaikan Shamsul Azri pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN Tahun 2024 di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri di Putrajaya, bermula 2.30 petang. - Foto Facebook/Jabatan Perkhidmatan Awam
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dijadual menyampaikan amanat sulung beliau esok, dengan tema 'Reformasi Perkhidmatan Awam'.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan amanat khas itu akan disampaikan Shamsul Azri pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN Tahun 2024 di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri di Putrajaya, bermula 2.30 petang.
"Apakah yang dimaksudkan dengan reformasi perkhidmatan awam? Sokongan seluruh pegawai awam dalam merealisasikan hala tuju reformasi perkhidmatan awam amat dihargai," menurut hantaran itu.
Shamsul Azri yang merupakan bekas Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dilantik sebagai KSN ke-16 berkuat kuasa 12 Ogos 2024, menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang tamat kontrak perkhidmatan pada 10 Ogos lalu.
Pada 2 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau mahu langkah-langkah reformasi dalam pentadbiran awam dilaksanakan segera dengan menjangkakan September ini adalah bulan pergerakan reformasi yang lebih pesat.
Anwar yang menyuarakan langkah segera itu pada majlis perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri berkata reformasi perkhidmatan awam perlu dicapai dengan kaedah atau prosedur yang bersesuaian dengan peredaran zaman.
Sehubungan itu Anwar memaklumkan beliau akan berbincang dengan Shamsul Azri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz tentang langkah yang perlu dilakukan bagi memperbaiki prestasi perkhidmatan awam.
-- BERNAMA
#Shamsul Azri Abu Bakar #KSN #amanat sulung #reformasi perkhidmatan awam
;