Amanat Hari Kebangsaan PM jawab persoalan rakyat - Zahid
Azyyati Ahmad
Ogos 31, 2015 08:02 MYT
Ogos 31, 2015 08:02 MYT
Amanat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 telah menjawab semua persoalan rakyat, khususnya mengenai keadaan ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap dengan penjelasan tersebut rakyat dapat menerima dan memahaminya.
“Kami merasakan amanat tersebut sarat beberapa jawapan yang selama ini menjadi persoalan yang besar di minda rakyat khususnya mengenai isu kemerosotan ringgit yang selama ini tiada jawapan rasmi.
“Semua rakyat harus memahaminya (penjelasan tersebut) kecuali khalayak yang minda dan hijabnya tertutup dan merasakan diri mereka yang benar,” ujar Ahmad Zahid yang ditemui selepas ucapan Amanat Hari Kebangsaan 2015 oleh Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada malam Ahad.
Najib dalam amanatnya berkata ekonomi Malaysia yang masih berkembang pada masa berlaku ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi serantau dan global merupakan antara petunjuk utama bahawa ekonomi negara masih berada di atas jajaran kukuh serta landasan yang betul.