AmanahRaya, SPNB meterai MoU bantu pemilik rumah terima produk perancangan pewarisan
Astro Awani
April 5, 2024 11:35 MYT
April 5, 2024 11:35 MYT
PUTRAJAYA: Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) dan Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) telah memeterai Perjanjian Kolaborasi Strategik di mana pemilik akan secara automatik ditawarkan produk-produk perancangan pewarisan seperti hibah dan wasiat.
Ia dijangka bakal memanfaatkan rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang berjaya memohon Rumah Mesra Rakyat SPNB.
Dalam satu majlis yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri Malaysia pada Jumaat, ia disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Pengerusi AmanahRaya, Tan Sri Idrus Harun, inisiatif ini akan memberi pendedahan kepada rakyat mengenai kepentingan melaksanakan perancangan pusaka dan pengurusan harta.
“Ia melalui instrumen hibah dan wasiat untuk memelihara harta pusaka bagi waris-waris dan penerima yang berhak.
“Ini dapat memastikan kebajikan waris yang bakal ditinggalkan oleh pemilik rumah tersebut. Ia juga sejajar dengan kerangka Malaysia MADANI kerajaan kini,” katanya.
Menurut Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa, kerjasama ini akan memberikan nilai tambah kepada produk SPNB.
“Terutamanya Program Rumah Mesra Rakyat dan manfaat kepada pemilik untuk memastikan kelangsungan pemilikan kediaman oleh pewaris pada masa akan datang dengan bayaran serendah RM1,000 sahaja.
“SPNB akan melaksanakan sebanyak 3,500 unit RMR pada tahun ini. Sehingga hari ini, SPNB telah melaksanakan sebanyak 66,195 unit di seluruh negara,” tambahnya lagi.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan dan Zahanuddin Kamarudin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SPNB.
AmanahRaya dan SPNB adalah agensi milik penuh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), Kementerian Kewangan Malaysia.