Amanah tolak cadangan PPSMI tetapi terbuka untuk berbincang - Khalid Samad

Hasimi Muhamad
Februari 1, 2020 18:18 MYT
Mengulas lanjut, Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutan percaya bahawa perkara itu akan menimbulkan banyak perbincangan sebaik ia dibawa ke Kabinet. Gambar Astro AWANI
Parti Amanah Negara (Amanah) tetap dengan pendirian untuk menolak cadangan pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Naib Presiden AMANAH, Khalid Abdul Samad, bagaimanapun menegaskan parti itu terbuka untuk mengadakan perbincangan memandangkan cadangan berkenaan belum dibawa ke peringkat Kabinet.
“Jadi kita mahu tengok apa yang mahu dicadangkan, kalau benar ia merupakan satu usaha mengajar mata pelajaran Matemaik dan Sains dalam bahasa Inggeris, dan ia mahu dilakukan, kita mahu mendengar hujah-hujah itu.
“Pada dasarnya Parti Amanah negara, pendirian kami berhubung dengan PPSMI, kami tidak bersetuju kecuali ada hujah-hujah yang kukuh untuk membuktikan sebaliknya,” katanya pada Sabtu.
Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Konvoi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan Ke-16 di Dataran Merdeka, hari ini.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan percaya bahawa perkara itu akan menimbulkan banyak perbincangan sebaik ia dibawa ke Kabinet.
Jelasnya, cadangan untuk melaksanakan semula PPSMI perlu diperhalusi memandangkan ia tidak boleh dilakukan dalam kadar segera.
“Ia bukan sesuatu yang anda boleh lakukan sekelip mata kerana ia (melibatkan) kapasiti dan kemampuan guru-guru. Mereka perlu disusun semula (kerana) sebelum ini (mereka ) mengajar dalam bahasa Melayu dan tiba-tiba anda tidak boleh menukar mereka dan mengatakan esok mereka perlu mengajar dalam Bahasa Inggeris.
"Kamu boleh memberitahu orang di kampung bahawa kami akan mengajar Matematik dan Sains dalam Mandarin dan ia akan lebih efektif kerana memang subjek yang susah difahami perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami tetapi kalau kita ajar dalam bahasa yang orang tak faham, susah untuk difahami dan ia menambah kesukarannya," katanya.
BACA: Dasar PPSMI akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara - PM
BACA: Biar kabinet bincang isu PPSMI - Anwar
BACA: PPSMI: Ambil langkah berani, demi masa depan anak-anak - PAGE
Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan PPSMI akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara ini.
Pemangku Menteri Pendidikan itu berkata, Sains dan Matematik adalah berbeza dengan mata pelajaran lain seperti Sejarah dan Geografi, kerana ia bukan bidang ilmu yang diolah dari negara ini.
Dasar PPSMI dipersetujui Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 dan mula dilaksanakan secara berperingkat bermula sesi persekolahan 2003 dengan perintisnya ialah murid Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat sekolah menengah.
PPSMI dilaksanakan sepenuhnya pada 2007 untuk peringkat sekolah menengah manakala peringkat sekolah rendah pada 2008.
Bagaimanapun ia mula dimansuhkan secara berperingkat pada 2012.
#Dataran Merdeka #kabinet #Mahathir Mohamad #Merdeka #Parti Amanah Negara #PPSMI #sekolah
;