Amanah salur sumbangan kepada mangsa banjir di Johor

Astro Awani
Mac 5, 2023 18:13 MYT
Mohamad yang juga Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menjelaskan, bantuan makanan ke Johor itu dilakukan atas usahasama dengan Tracol Asia Sdn Bhd. - Foto Amanah
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) mengarahkan pemimpin dan ahlinya di negeri-negeri yang tidak terjejas banjir agar segera turun membantu mangsa banjir di Johor.
Dalam satu kenyataan, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu turut menggesa lebih banyak syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu untuk turut sama membantu mangsa banjir di selatan tanah air.
“Selalunya bantuan yang Amanah berikan kepada mangsa banjir adalah sumbangan bakul makanan, menyediakan makanan bermasak dan bantuan mencuci rumah mangsa banjir,” katanya selepas melepaskan trak bantuan banjir yang membawa 2,000 kotak makanan.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (MAFS) menjelaskan, bantuan makanan ke Johor itu dilakukan atas usahasama dengan Tracol Asia Sdn Bhd.
“Hari ini melalui kerjasama dengan Tracol Asia Sdn Bhd, kita dapat hantar 2,000 kotak makanan. Saya harap lebih banyak pihak dapat mencontohi usaha ini dan dapat bersama-sama dengan Kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di selatan tanahair kita,” katanya lagi.
Hadir sama dalam majlis pelepasan tersebut, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Ketua Pegawai Operasi Tracol Capital Malaysia, Datuk Hillmee Rifin dan Ketua Pegawai Operasi PT Tracol Indonesia, Asrul Hadi.
Menurut portal info banjir JKM, jumlah mangsa banjir di selurih negara terus meningkat kepada 46,361 orang daripada 13,400 keluarga ditempatkan di 298 pusat pemindahan sementara (PPS).
Lima negeri terjejas teruk dengan situasi di Johor paling serius dengan jumlah mangsa banjir setakat ini 42,387 orang daripada 12,264 keluarga di pindahkan ke 266 PPS.
#banjir #Mohamad Sabu #Parti Amanah Negara #Salahuddin Ayub
;