KUALA LUMPUR:Parti Amanah Negara (Amanah) mengecam keras kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron, yang mendakwa orang Islam sebagai penganut fahaman pemisah dan menyifatkan Islam sebagai agama krisis di seluruh dunia.

Menurut Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, kenyataan pemimpin Perancis itu melampau dan hanya memupuk Islamofobia dalam kalangan masyarakat dan penganut agama lain.

“Dalam mendepani krisis COVID-19, sepatutnya beliau sebagai seorang presiden, menunjukkan keprihatinan terhadap semua masyarakat tanpa mengira agama yang dianuti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Salahuddin yang juga merupakan Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah berkata, kenyataan Macron juga bakal menyebabkan rakyat melakukan protes sejurus membahayakan ramai pihak pada saat wabak COVID-19 melanda negara.

“Tindakan Emmanuel adalah melampau dan hanya menimbulkan kekecohan seterusnya menjadi pencetus kepada rakyat atau masyarakat untuk protes di jalanan yang mana hanya membahayakan ramai pihak ketika pandemik Covid-19 ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Macron dilaporkan berikrar akan berjuang untuk menentang kumpulan radikal Islam selepas tragedi seorang guru sejarah dipenggal pada 16 Oktober lalu kerana menunjukkan gambar Nabi Muhammad kepada pelajarnya.

Bagaimanapun, kenyataan pemimpin itu mengundang kritikan penduduk Islam seluruh dunia termasuk ada yang membakar gambar Macron di Syria dan Pakistan selain membakar bendera Perancis di Tripoli, Libya.