Amanah gesa PAC siasat kelewatan penyerahan kapal OPV milik Maritim Malaysia

Aida Aziz
September 2, 2022 18:32 MYT
Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa gesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menyiasat kelewatan penyerahan kapal peronda luar pesisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). - Gambar Astro AWANI
IPOH: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menyiasat kelewatan penyerahan kapal peronda luar pesisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Mujahid berkata, siasatan bebas itu penting bagi membongkar dan memperhalusi masalah sebenar yang berlaku di samping dikhuatiri ia menerima nasib sama seperti kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Tegas beliau, apa yang lebih meragukan ialah apabila sebuah daripada tiga buah kapal OPV yang sepatutnya diterima APMM bulan lalu, masih belum nampak bayang.
"Yang peliknya hingga hari ini dalam kontrak tersebut sepatutnya TH Heavy Engineering Berhad menyerahkan tiga kapal ini secara berperingkat mulai tahun 2020.
"Bermakna sebuah kapal pada Januari 2020, pertengahan sebuah lagi dan hujung tahun lagi sebuah, itu dalam kontrak.
"Kalau dari 2017 lebih kurang tiga tahun untuk mereka siapkan dan serahkan kapal yang sangat diperlukan untuk jaga perairan negara, tapi mereka gagal serahkan sampai hari ini.
"Saya mahu siasatan bebas dibuat, PAC boleh buat sama macam LCS. Dari situ kita boleh tahu apa terma kontraknya," dakwa Mujahid.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas berhubung kapal OPV milik APMM, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor.
Dalam pada itu, Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak turut mempersoalkan bagaimana anugerah kontrak itu diberi kepada syarikat yang bukan pakar dalam bidang pembuatan kapal.
"Bagaimana anugerah kontrak yang dibuat secara runding terus kerana TH Heavy Engineering Berhad ada beberapa masalah, salah satunya mereka bukan pakar dalam pembuatan kapal.
"Waktu itu Pengerusi Tabung Haji ialah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dia mendapat kontrak secara terus melalui anugerah yang dikeluarkan surat menerusi Datuk Seri Najib yang merupakan Perdana Menteri waktu itu.
"Dalam surat itu pula mengatakan syarikat itu (TH Heavy Engineering Berhad) perlu joint venture (JV) dengan syarikat lain.
"Jadi mereka kena cari pakar dalam pembinaan kapal ini. Maka berlakulah kerjasama di antara TH Heavy yang memiliki 49 peratus pegangan dan satu syarikat iaitu Destini Sdn Bhd yang memiliki 51 peratus pegangan di dalam projek ini," katanya lagi.
Beliau turut mendakwa perkara ini ada kepentingan bagi pihak tertentu.
"Destini Sdn Bhd ini dikaitkan dengan kontrak-kontrak dia dapat, sangat rapat dengan kerajaan Barisan Nasional. Kita akan dedahkan nanti.
"Siapa memiliki Destini Sdn Bhd ini pun akan kita dedahkan termasuk yang ada kaitan dengan orang yang ada kepentingan dalam OPV. Saya tunggu minggu depan untuk mereka respon dulu kenyataan ini.
"Saya lihat isu OPV ini tak banyak beza dengan LCS, cumanya LCS RM6 bilion dan yang ini
RM738.9 juta ," katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan kelewatan penyerahan kapal OPV milik APMM menimbulkan kebimbangan umum kerana projek ini juga berdepan masalah serupa seperti kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Ini kerana kelewatan pembinaan OPV tidak sepatutnya berlaku setelah TH Heavy Engineering Berhad diberi satu tempoh yang lama untuk menyiapkan kapal-kapal berkenaan.
Laporan media itu turut memaklumkan, TH Heavy Engineering yang diklasifikasikan sebagai PN17 kini menanggung kerugian terkumpul RM629.8 juta dan hutang sebanyak RM165 juta, namun memiliki aliran tunai RM27.5 juta untuk membantunya menyiapkan kapal OPV berkenaan.
#skandal LCS #kapal peronda luar pesisir #OPV #Mujahid Yusof
;