Amanah dakwa lebih 10,000 hadir himpunan Bantah GST
Rahimah Abdullah
April 3, 2016 21:01 MYT
April 3, 2016 21:01 MYT
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu atau Mat Sabu menegaskan beliau berpuas hati dengan kehadiran peserta pada Himpunan Bantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada Sabtu.
Pada masa sama, katanya himpunan berkenaan mencapai matlamatnya dengan penyertaan semua lapisan masyarakat.
"Himpunan semalam mencapai sasaran dan kehadiran agak baik walaupun orang-orang Tionghua ada perayaan Qinming yang menyebabkan kebanyakan mereka balik kampung.
"Walau bagaimanapun, penyertaan semua kaum saya berpuas hati," katanya dalam sidang media selepas melancarkan edisi pertama akhbar tabloid mingguan Amanah di ibu pejabatnya di sini hari ini.
Bagaimanapun beliau mengakui masih ramai kalangan masyarakat yang tidak dapat menyertai himpunan berkenaan berikutan kekangan kewangan.
"Orang-orang kampung kali ini agak kurang (hadir), agaknya masalah ekonomi terutama penoreh-penoreh getah sekarang ini, mereka nak datang dan bayar tambang ke Kuala Lumpur pun mereka kurang mampu," ujarnya.
Mat Sabu dalam pada itu menafikan dakwaan bahawa Amanah tidak mampu mempengaruhi masyarakat untuk turun pada bantahan pada Sabtu.
"Memang kami sasar jumlah (kehadiran) sebanyak itu sahaja. Kami tidak buat himpunan sebesar Bersih kerana itu hanyalah gerakan dalam masa yang singkat. Bersih kita ambil masa enam bulan sebelum itu, tetapi ini ambil masa seminggu sahaja, jadi bagi saya kehadiran itu cukup memuaskan," jelas beliau.
Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Abdul Khalid Samad bertegas Himpunan Anti-GST pada Sabtu adalah lebih daripada 10,000 orang.
"Lebih 10,000 hadir pada awal tengah hari itu tetapi masalah oleh kerana cuaca panas, maka ramai jugalah yang tidak bersama sampai habis program.
"Himpunan semalam menunjukkan bahawa dakwaan kita tidak mampu kerah rakyat ke jalan raya terbukti tidak tepat kerana kalau kita lihat ketika kemuncaknya memang penuh dekat Dataran Merdeka," ujar beliau.
Himpunan Bantah GST itu turut dihadiri Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah.