Aman Palestin teruskan misi ibadah korban di bumi para nabi

Haikal Raman
Julai 2, 2023 13:21 MYT
Aman Palestin akan terus komited terhadap semua misi bantuannya dan menyeru orang ramai untuk turut terlibat dalam kempen dilaksanakan.
KUALA LUMPUR: Aman Palestin meneruskan usaha dalam misi ibadah korban di bumi para nabi dengan mengangkat tema ‘Kongsi Kegembiraan, Ringkankan Beban’ pada tahun ini.
Ketua Misi Ibadah Korban Aman Palestin ke Lubnan 2023, Mohd. Salmi Mohamed berkata, ibadah korban dilaksanakan itu membawa mesej usaha memantapkan iman dengan beribadah kepada Allah SWT serta suntikan semangat dan sokongan terhadap penduduk di sana khususnya di Palestin, Syria dan Yaman.
Beliau berkata, Pada tahun 2022, Aman Palestin telah berjaya melaksanakan ibadah korban di Palestin, Syria dan Yaman dengan pelaksanaan ibadah korban yang memberi manfaat kepada 788,349 individu di sana.
“Pencapaian yang terus meningkat tahun demi tahun melalui kempen ini, mendorong kami meneruskan lagi kempen ini untuk tahun 2023 menjurus kepada usaha memberi sebungkus daging sebagai sebuah kegembiraan yang kita kongsikan bersama penduduk di sana.
“Menerusi kempen ini, kita telah membuat pengagihan di beberapa tempat di sekitar Bakoq, yang mana sebanyak 1,137 penerima daripada 5,826 ahli keluarga mendapat manfaat daripada daging korban pada Khamis.
“Proses penyembelihan dilakukan pada sebelah pagi di pusat penyembelihan di Kem Yasmin kemudian pengagihan dilaksanakan waktu petang sehingga malam kepada penerima manfaat sebelum kami ke Arsal pada hari kedua bagi mengagihkan daging korban di sana,” katanya.
Teruskan misi ibadah korban di bumi para Nabi
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan misi Ibadah Korban Aman Palestin 2023 di Palestin, Syria dan Yaman baru-baru ini.
Menurut Salmi, bagi ibadah korban sejuk beku, penyembelihan yang dilaksanakan di India dan Brazil akan dibekukan sebelum dihantar kepada penduduk di Gaza serta Syria dalam jangka masa tiga hingga empat bulan.
“Ibadah Korban di Malaysia dan Indonesia juga dilaksanakan untuk diagihkan kepada rakyat Malaysia dan Indonesia yang memerlukan termasuk komuniti juga pelajar Palestin serta Yaman yang berada di Malaysia.
“Melalui kempen ini juga, kita akan bawa masyarakat dan para peserta ibadah korban untuk sama-sama menghayati ibadah korban yang mereka laksanakan melalui penghantaran Misi Kemanusiaan Ibadah Korban ke Palestin, Syria, Lubnan serta Yaman,” ujarnya.
Dengan pelaksanaan misi tersebut, Aman Palestin sedaya upaya memastikan setiap ibadah korban yang disertai oleh masyarakat dapat dilaksanakan dengan lancar.
"Aman Palestin akan terus komited terhadap semua misi bantuannya dan menyeru orang ramai untuk turut terlibat dalam kempen dilaksanakan kerana setiap usaha anda adalah senyuman buat mereka di sana," katanya.
#aman palestin #Ibadah Korban #Misi Agihan Daging #Palestin
;