Aman Palestin sasar bantuan RM10 juta menerusi kempen Ramadan Bersama
Ehsan A Marisah
April 1, 2022 11:30 MYT
April 1, 2022 11:30 MYT
BANGI: Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) menyasarkan bantuan RM10 juta untuk diagihkan kepada penduduk di Palestin, Syria dan Yaman menerusi kempen Ramadan Bersama.
Pengurus Besar Pemasarannya, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, bantuan tersebut bakal memanfaatkan hampir 110,000 keluarga di negara berkenaan sepanjang bulan Ramadan ini.
“Separuh daripada bantuan ini akan diperuntukkan untuk juadah berbuka puasa dan bantuan berupa kotak makanan kepada keluarga di tiga negara ini.
“Ini merupakan keperluan asas sepanjang bulan Ramadan yang dapat meringankan beban dan memberi ruang mereka untuk fokus beribadah mempertahankan tanah air,” katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Baru Bangi, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, tambah Muhd Farhan, kempen itu turut membantu ibu tunggal, keluarga miskin termasuk membaik pulih rumah-rumah di Al-Quds.
“Justeru, bagi mereka yang ingin merebut pahala infak di bulan Ramadan ini, boleh menyumbang di laman sesawang Aman Palestin di jommenyumbang.com/ms/kempen/ramadan-bersama-2022-1 atau boleh menghubungi 20 cawangan di seluruh negara.
“Ambil kesempatan untuk merebut segala pahala di bulan mulia ini, InsyaAllah dengan sumbangan diberikan kita memperoleh segala kebaikan yang ada. Rebutlah peluang ini kerana mereka menantikan bantuan daripada kita,” katanya.
Beliau berkata, kempen itu juga dilihat sebagai persediaan bagi sebarang kemungkinan berikutan tahun lalu Palestin dikejutkan dengan serangan besar-besaran oleh tentera Rejim Israel pada penghujung Ramadan yang menyebabkan Gaza terjejas teruk.
“Kehidupan seharian mereka sangat mencabar, ramai antara mereka terpaksa hidup dalam serba kekurangan, bahkan keperluan asas mereka sangat tidak mencukupi.
“Hakikatnya, kita juga tidak akan sanggup untuk menjalani kehidupan seperti mereka,” ujarnya lagi.